Kuala Lumpur: Kemajuan teknologi komunikasi boleh dimanfaatkan sebagai
penyelesaian dalam misi mencari pesawat hilang, sekali gus mengurangkan
kebergantungan pada maklumat kotak hitam.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
(gambar) berkata, sudah tiba masanya sistem kotak hitam yang mempunyai
kemampuan terhad digantikan kepada teknologi komunikasi seperti telefon
bimbit dan jalur lebar yang memberi maklumat lebih pantas.
“Kini, kita boleh mengesan telefon bimbit yang hilang dengan mudah.
Bagaimanapun, apabila sesebuah pesawat hilang, kita mencari kotak hitam
bagi mendapatkan data, namun apabila ditemui kotak hitam hanya mempunyai
perbualan dua jam terakhir di dalam kokpit.
Terus guna satelit
“Itu zaman perakam pita, iaitu teknologi tahun 60-an. Zaman sekarang
teknologi membolehkan segala data telefon bimbit atau jalur lebar
dihantar terus menggunakan satelit.
Jadi mengapa perkara ini tidak dimanfaatkan dalam sektor
penerbangan?,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada
Dialog Pakar Berkaitan Pemantauan Masa Nyata Penerbangan, Termasuk
Kotak Hitam, di sini, semalam.
Yang turut hadir, Pengarah Biro Standard Telekomunikasi Kesatuan
Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Malcolm Johnson; Pengarah Biro
Navigasi Udara Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Nancy
Graham; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk
Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan
Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman.
Dialog yang dijalankan secara tertutup membabitkan lebih 50 pakar
terkemuka dalam bidang penerbangan, komunikasi dan perundangan itu
adalah susulan daripada Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia di
Dubai, awal April lalu.
Ahmad Shabery berkata, sesi dialog itu diharap mampu mencari jalan
supaya data daripada telefon bimbit dibangunkan menjadi teknologi
mengesan pesawat dalam sesuatu tragedi.
“Kita mungkin akan temui pelbagai kaedah bagaimana mahu memanfaatkan
data komunikasi ini dan jika dipersetujui penggunaannya oleh negara
lain, Malaysia akan menjadi penyumbang dan membuka lebaran baharu
sejarah p enerbangan berkaitan pencarian pesawat,” katanya.
Beliau berkata, kemajuan telekomunikasi data itu diharapkan dapat
mengelak berulangnya peristiwa sama yang menimpa pesawat Penerbangan
Malaysia (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu dalam perjalanan ke
Beijing, China.