Cadbury hanya tarik dua produk ada DNA babi


Kuala Lumpur: Cadbury Confectionery (M) Sdn Bhd setakat ini hanya menarik balik dua produk coklat susu Cadbury Dairy Milk selepas ia dikesan mengandungi DNA babi. 

Dalam kenyataan malam tadi, Cadbury Confectionery memberi jaminan akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa lain bagi menyelesaikan isu itu. 

Katanya, JAKIM sudah menghantar sampel produk terbabit bersama produk lain yang dikeluarkan melalui saluran pemprosesan sama di kilang milik syarikat itu bagi dilakukan ujian makmal seterusnya.


Pelanggan diutamakan

“Kami memahami betapa status halal adalah kritikal kepada kita di Malaysia. Syarikat sedar isu ini menjadi tekanan kepada semua pihak namun memberi jaminan bahawa tiada yang lebih penting daripada keyakinan pelanggan ke atas produk kami. 

“Ketika ini kami sedang aktif menarik balik dua kumpulan produk Cadbury Dairy Milk iaitu Hazelnut 175 gram bertarikh luput pada 13 November 2014 dan Roast Almond 175 gram bertarikh luput 15 Januari 2015,” katanya. 

Kelmarin, akhbar melaporkan, JAKIM menggantung sijil halal dua produk keluaran Cadbury Dairy Milk, berkuat kuasa serta-merta selepas Kementerian Kesihatan mengesan DNA babi dalam produk coklat susu kacang hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dengan nombor kelompok 200813M01H I2 dan coklat susu buah buah badam panggang (Cadbury Dairy Milk Roast Almond) dengan nombor kelompok 221013N01R I1. 
Beliau berkata, setakat ini tiada produk keluaran Cadbury terjejas dengan ujian yang dilakukan JAKIM.