Sazali raih gelaran ke-3, Nicol ke-8



Kuala Lumpur: Jaguh bina badan negara, Sazali Samad (gambar) dinobatkan Olahragawan Kebangsaan buat kali ketiga, sementara ratu skuasy Datuk Nicol Ann David menambah koleksi gelaran Olahragawati Kebangsaan buat kali kelapan sejak 1999, malam tadi. 

Dalam majlis Anugerah Sukan Negara 2013 di Stadium Juara, Bukit Kiara, dekat sini, kedua-dua pemenang itu membawa pulang piala dan hadiah wang tunai bernilai RM20,000 setiap seorang. 


Sazali yang memegang rekod Mr Universe buat kali kesembilan di Hungary November lalu, mengenepikan pencabar terdekat Datuk Lee Chong Wei selain jaguh karate Lim Chee Wei, Benjamin Khor Jeng Jie (menembak), Mohd Jironi Riduan (olahraga), Ooi Tze Liang (terjun) dan Hon Mun Hua (wushu).



Kali pertama dia dianugerahkan gelaran berkenaan adalah pada tahun 2000 dan kemudian 2006, manakala Nicol yang menjuarai Terbuka Britain kelmarin mula meraih gelaran berkenaan pada 1999. 

“Alhamdulillah, rezeki dan terima kasih kepada semua yang membantu saya selama ini,” kata Sazali semalam. 

Amat bermakna 

“Anugerah ini amat bermakna buat saya, memberi makna apa yang saya lakukan dalam bidang ini dan hadapi dalam menghadapi liku-liku sukan ini, saya dapat harungi dengan baik. 
Tambahnya lagi: “Bagi saya, untuk berada dalam kelompok enam terbaik itupun bukan mudah dan saya sudah dapat gelaran ini dua kali sebelum ini. Syukur diberi peluang lagi dan kemenangan ini bukan mudah dan perlu disusuli dengan banyak usaha. 

“Terima kasih kepada panel juri. Bagi saya, berada di samping calon seperti Datuk Lee Chong Wei bukannya senang dan semuanya (calon) hebat-hebat belaka.” Pada temasya Sukan SEA Myanmar tahun lalu, olahragawan berusia 47 tahun ini meraih pingat perak dalam kategori 70 kilogram. 

Hadiah disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Sementara itu, Nicol seperti diramal mudah mengenepikan pesaing lain seperti Pandelela Rinong Pamg (terjun) Kelly Tan Guat Chen (golf), Casier Renee Kelly Lee (olahraga), Diana Bong Siong Lin (wushu) dan Nisha Alagasan (karate) sekali gus mencipta rekod pemegang Olahragawati Kebangsaan terbanyak dalam sejarah sejak mula diperkenalkan pada tahun 1966. 

Nicol memenangi gelaran berkenaan buat kali pertama pada tahun 1999 sebelum menambah koleksi seterusnya pada 2003, 2005, 2006, 2007, 2008, 2009 dan 2010 sebelum Pandelela meraih gelaran itu pada 2011 dan 2012.