Kerajaan akan lancar subsidi bagi pakej perisian GST


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melancarkan subsidi bagi pakej perisian cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak lama lagi, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan. 

Menurutnya, daripada peruntukan RM150 juta yang disediakan kerajaan, subsidi RM1,000 akan diberikan kepada setiap PKS bagi mengemas kini sistem perakaunan syarikat mereka. 




Bagi tujuan menyebarkan maklumat dan pendedahan mengenai CBP, kerajaan memperuntukkan RM250 juta, di mana RM100 juta untuk memberi latihan kepada PKS manakala RM150 juta lagi untuk mengemas kini perisian perakaunan mereka. 

Ahmad berkata, setakat ini kira-kira RM50 juta telah digunakan dan beliau menggesa PKS lain untuk menggunakan baki geran berkenaan untuk mendapatkan pengetahuan mendalam mengenai cukai yang akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan itu. 

Menurutnya, kerajaan berusaha mencari lebih ramai vendor untuk membekalkan perisian CBP berbanding 55 vendor setakat ini. Setiap perisian itu berharga kira-kira RM1,200. 

"Kerajaan juga akan mengeluarkan senarai harga barang awal tahun depan. Setakat ini sebanyak 689 harga barang telah ditetapkan dan 255 lagi barangan belum diselaraskan harganya," katanya. 

Ahmad berkata, daripada senarai itu, 10 peratus akan mengalami kenaikan harga seperti makanan yang telah diproses, 48 peratus tidak akan berubah harganya (perkhidmatan hotel dan makanan segera) dan 42 peratus akan mengalami penurunan harga (pakaian dan perabot). - BERNAMA