Tragedi MH370: Isyarat ping mungkin daripada hidupan laut

Kuala Lumpur: Wujud kemungkinan isyarat ping yang dikesan kenderaan bawah air autonomi (AUV) Bluefin-21 dihasilkan oleh hidupan bawah laut.

Pakar Oseanografi Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah, berkata perlu difahami bahawa operasi mencari pesawat MH370 dilakukan di kawasan terbuka yang didiami banyak hidupan laut dalam. 

Isyarat celaru 

Katanya, menjadi sifat hidupan seperti ikan paus dan ikan lumba-lumba mengeluarkan bunyi bagi berkomunikasi dan mencari arah ketika bergerak di kawasan lautan.

Memang ada kemungkinan besar frekuensi yang dikesan Bluefin-21 bukan dari kotak hitam pesawat MH370 tetapi bunyi yang dihasilkan hidupan di kawasan Lautan Hindi.

Apa yang dikhuatiri pesawat ini terbenam ke dalam mendapan dasar lautan yang menjangkau hingga 300 meter sehingga mengakibatkan isyarat kotak hitam bercelaru dengan bunyi hidupan lain, katanya ketika 
dihubungi, semalam.

Kelmarin, Komander Laut Australia, James Lybrand, dilaporkan menyatakan keraguan pada dua isyarat ping yang dikesan Bluefin-21 pada 5 April lalu, berikutan ia agak lemah dan kemungkinan tidak dikeluarkan daripada kotak hitam pesawat MH370.

Sejak pesawat itu hilang pada 8 Mac lalu, pasukan penyiasat mengesan isyarat berfrekuensi 33.5kHz dan 27kHz di lokasi pencarian Lautan Hindi berbanding isyarat 37.5kHz yang sepatutnya dipancarkan oleh kotak hitam.

Bunyi gema berbeza

Difahamkan, hidupan laut seperti ikan lumba-lumba menghasilkan isyarat bergema pada frekuensi antara 0.2kHz hingga 150kHz bagi mendapatkan maklumat sonik mengenai kawasan persekitaran.

Mengulas lanjut Azizan berkata, hampir semua hidupan laut mampu mengeluarkan bunyi gema berbeza-beza dan ada antaranya boleh menghasilkan isyarat frekuensi sangat rendah atau sangat tinggi.

Keadaan ini boleh menyebabkan berlaku kesilapan pada isyarat ping yang dikesan pasukan pencari, namun ada kaedah yang berupaya membezakan bunyi dari hidupan laut atau daripada kotak hitam, katanya.