‘Abang tak mampu beri kemewahan'



Pasir Puteh: Maafkan abang tak sempat nak bagi kemewahan dan kebahagiaan kepada sayang kerana abang akan pergi buat selama-lamanya selepas ini. 

Itu antara kata-kata terakhir komando tentera, Lans Koperal Mohd Fiffixezafey Mat Husin, 28, ketika menghubungi isterinya, Norhidayah Hasbullah, 27, kira-kira jam 10 malam kelmarin, sebelum dia maut dipercayai ditembak oleh rakan sekerja di Lahad Datu, Sabah, jam 4.45 pagi semalam. 

Ketika ditemui di rumah keluarga arwah di Kampung Gong Guchil, Sungai Petai, Gaal, di sini semalam, Norhidayah memberitahu, arwah berkata demikian dengan suara sebak dan tersekat-sekat, tapi beliau menegur suaminya dan memaklumkan bukan kemewahan dicari, sebaliknya mahu suami sentiasa selamat sepanjang bertugas di Sabah.


Tak sangka itu perbualan terakhir kami. Sebenarnya, arwah yang juga anak kedua daripada lima beradik teringin sangat nak jumpa saya... gembira kerana saya mengandung dua bulan anak pertama kami. Sabtu ini pula ulang tahun pertama perkahwinan kami, katanya. 

Ditembak di dada kiri

Mohd Fiffixezafey terkena tembakan di dada kiri dan meninggal dunia di Hospital Lahad Datu (HLD). Kejadian turut menyebabkan dua pekerja pusat hiburan, Eross Alias Razak, 31, dan Hassan Madali, 38, masing-masing cedera belakang badan serta betis dan dimasukkan ke hospital sama.