Kuala Lumpur: Selain Selangor membara untuk membalas dendam kekalahan
4-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Larkin, Februari lalu, penyokong
skuad Gergasi Merah itu juga masih 'panas' dengan hasrat JDT baru-baru
ini yang mahu memancing peledak utama mereka, Paulo Rangel musim depan.
Dua keghairahan itu dijangka menghangatkan lagi pertembungan
antara pendahulu Liga Super, Selangor dan JDT di Stadium Shah Alam,
Sabtu ini yang turut bakal menentukan hala tuju kedua-dua pasukan dalam
perebutan kejuaraan liga musim ini.
Namun Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Rosman
Mohd Ibrahim meminta penyokong Selangor supaya tidak terbabit dengan
segala bentuk provokasi dan menyimpan sifat dendam, sebaliknya hadir ke
stadium semata-mata dengan niat menyokong pasukan kesayangan mereka.
Keadaan lebih terkawal
“Pada awal musim, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
sudah pun bertitah supaya semua pegawai, pemain dan juga penyokong
Selangor tidak terbabit atau menimbulkan sebarang kekecohan ketika
perlawanan. Tuanku Sultan juga mahu kita penyokong Selangor sentiasa
menghormati tetamu iaitu pasukan lawan.
“Jadi saya harap semua penyokong faham. Datang ke stadium dengan
penuh semangat kesukanan, apa saja yang berlaku usah berdendam dan
terima saja sebarang keputusan perlawanan.
“Lagipun pasukan kita dalam mood dan semangat terbaik di tangga
teratas liga dengan kelebihan lima mata. Kita tak mahu kekecohan berlaku
sehingga mungkin boleh mengakibatkan kita didenda dan ditolak mata. Ia
pasti merugikan,” kata Rosman.
Sedar perlawanan Sabtu ini mampu menarik kehadiran tinggi
penyokong kedua-dua pasukan, Rosman berkata, FAS akan membuka kaunter
tiket lebih awal iaitu dari jam 9 pagi hingga 4 petang pada Jumaat dan
dari 9 pagi hingga perlawanan bermula pada Sabtu.
“Kehadiran tertinggi di Stadium Shah Alam musim ini ialah 16,000
penonton ketika bertemu Terengganu (4 Mei lalu) dan 12,000 bertemu Sime
Darby (Sabtu lalu). Dijangka jumlahnya lebih tinggi Sabtu ini. Jadi,
satu mesyuarat keselamatan akan diadakan Khamis ini bagi memastikan
keadaan lebih terkawal,” jelas Rosman.