Allah SWT berjanji kepada hamba-Nya yang bersedekah bahawa amalan itu tidak akan menyebabkan rezeki mereka menjadi kurang, bahkan akan bertambah mengikut apa yang tertulis di Luh Mahfuz.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya). Dan barang apa saja yang kamu menafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.” (Surah Saba’, ayat 39)
Allah SWT berjanji menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai mengandungi 100 biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)
Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya). Dan barang apa saja yang kamu menafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.” (Surah Saba’, ayat 39)
Harta tidak kurang kerana sedekah
Secara logik, mungkin kita akan berfikir bagaimana harta yang dikeluarkan untuk sedekah tidak akan menyebabkan harta berkurang tetapi Rasulullah SAW bersabda harta seseorang tidak akan berkurang kerana orang itu bersedekah.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Harta tidak akan berkurangan dengan sebab sedekah. Dan Allah tidak menambah kepada seseorang hamba dengan sebab kemaafan yang diberikan (kepada orang lain) melainkan kemuliaan kepadanya dan tiada merendah diri seseorang itu melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.”
Selain itu, amalan bersedekah sebenarnya akan berfungsi sebagai penolong kepada manusia selepas mereka meninggal dunia seperti dinyatakan Rasulullah SAW.
Daripada Abu Hurairah, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apabila seorang anak Adam mati, putuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak soleh yang tidak putus berdoa untuknya.” (Riwayat Muslim dan lain-lainnya)
Hakikatnya, dalam persoalan bersedekah, umat Islam lazimnya memiliki sifat pemurah dalam hidup mereka dan mudah bersedekah atau memberi bantuan kepada golongan memerlukan seperti dilihat dalam kehidupan hari ini.
Ikhlas bersedekah
Hanya yang menjadi isu soal sedekah ini ialah aspek keikhlasan dalam memberikan sedekah sama ada sedikit atau banyak selain bersikap memilih hendak melaksanakan amalan sunat yang amat digalakkan ini.
Hal ini sebenarnya memang tidak dapat dielakkan memandangkan al-Quran turut menjelaskan manusia mempunyai perasan cintakan harta seperti terkandung dalam ayat ke-20, surah Fajr yang bermaksud: “Dan kamu mencintai harta dengan kecintaan yang berlebihan.”
Justeru, bagaimanakah hendak menjinakkan hati supaya mudah bersedekah dengan ikhlas terutama ketika diri sendiri juga merasakan kurang berkemampuan untuk bersedekah ke jalan Allah SWT.
Pegawai Perunding Korporat Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Abdul Hadi Kamil Mohamed Sariff, berkata perkara ini sering terjadi disebabkan manusia tidak dapat menyaksikan ganjaran pahala bakal diperoleh daripada amalan bersedekah yang menjadikan mereka tidak memiliki semangat untuk berlumba-lumba bersedekah.
“Jika manusia dapat melihat ganjaran bersedekah, sudah pasti mereka akan berlumba-lumba melakukannya. Cuba bayangkan jika hari ini kita melabur sebanyak RM1,000 dan tiba-tiba memperoleh keuntungan sehingga RM700,000, sudah tentu ramai orang mahu bersedekah,” katanya.
Jelasnya, manusia tidak terlepas daripada bisikan syaitan yang berusaha menghalang seseorang daripada bersedekah. Bisikan syaitan boleh datang dalam pelbagai cara, akhirnya mendorong manusia menangguhkan hasrat untuk bersedekah atau berkira-kira dalam bersedekah.
“Bisikan syaitan ini juga boleh menyebabkan seseorang manusia tiba-tiba menjadi kedekut untuk bersedekah atau bersedekah dengan jumlah kecil. Inilah antara dugaan yang akan dialami seseorang manusia apabila hatinya terdetik hendak melakukan amal kebajikan seperti bersedekah,” katanya.
Kelebihan bersedekah
Katanya lagi, seperkara yang kurang diketahui manusia hari ini mengenai kelebihan bersedekah, ia antara cara dianjurkan Islam untuk menyembuhkan penyakit yang menimpa seseorang berdasarkan hadis Rasulullah SAW: “Ubatilah orang yang sakit di antara kalian dengan sedekah.”
“Amalan sedekah ini nampak remeh tetapi ia mempunyai ganjaran berganda. Sebagai manusia beriman, kita harus sedar segala yang kita miliki adalah pinjaman dan hendaklah menafkahkan sebahagian daripada harta pinjaman ini kepada orang lain yang memerlukan,” katanya.
Allah SWT memberi peringatan kepada manusia supaya bersikap pemurah dengan bersedekah agar tidak menyesal pada kemudian hari.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan belanjakanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata, Ya Rabbku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang yang soleh.” (Surah al-Munafikun, ayat 10)