Dungun: “Mereka mengancam nyawa saya sekeluarga dan wajar diajar,”
kata seorang wanita berusia 36 tahun yang bertindak mengejar dua
penyamun dan melanggar mereka hingga cedera di Jalan Lapangan Terbang,
di sini, kelmarin.
Wanita yang enggan dikenali itu berkata, sebelum kejadian, dia
membawa anak berusia empat tahun yang demam ke sebuah klinik di Kuala
Dungun, di sini, sambil ditemani dua lagi anak, jam 4 petang.
Katanya, ketika kejadian suaminya yang bekerja dengan sebuah syarikat
minyak bertugas di luar negara dan apabila dia pulang ke rumah dia
terkejut mendapati pintu pagar terbuka serta sebuah motosikal Honda EX5
berada di dalam garaj.
“Curiga dengan keadaan itu, saya
meninggalkan anak di dalam kenderaan dan berlari masuk ke dalam rumah
selepas pintu jeriji depan terbuka sebelum terdengar suara dua anak
berusia tujuh dan 11 tahun yang tidak ikut bersama ke klinik bercakap
dengan seorang lelaki di dalam sebuah bilik.
“Pada masa sama,
saya membuka pintu bilik tidur saya pula dan tiba-tiba muncul seorang
penyamun dari bilik menerpa menyebabkan saya melarikan diri,” katanya,
di sini, semalam.
Menurutnya, dia tidak sempat keluar meminta
bantuan selepas ditarik penyamun terbabit yang bertindak meletakkan
sebilah parang di lehernya sambil meminta dia diam jika tidak mahu
dicederakan, manakala seorang lagi penyamun bertindak menyelongkar
barangan di dalam rumah.
“Selepas 20 minit menyelongkar dan
berjaya melarikan wang tunai RM1,300, dua komputer riba, dua jam tangan
dan alat permainan yang kesemuanya bernilai RM12,000, kedua-dua penyamun
itu melarikan diri dengan motosikal Honda EX5.
“Berang dengan
tindakan itu, saya mengejar mereka dengan kenderaan pelbagai guna (MPV)
Toyota Innova sejauh hampir satu kilometer sebelum melanggar motosikal
itu menyebabkan mereka jatuh tergolek di tepi jalan.
“Kedua-kedua penyamun yang cedera bangun dan mengacukan parang ke arah
saya, namun saya memusingkan kenderaan dan sekali lagi melanggar mereka
sebelum kedua-duanya melarikan diri,” katanya.