Taktik pusat karaoke tak menjadi


Kota Bharu: Kegiatan karaoke haram di Kelantan menggunakan taktik baharu dengan menjadikan sebuah premis kosong sebagai pusat berkenaan dan hanya akan dibuka apabila mendapat permintaan daripada pelanggan. 

Bagaimanapun, kegiatan itu berjaya dihidu pihak berkuasa, apabila polis dari Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), menyerbu pusat itu. 

Dalam serbuan jam 12 tengah malam kelmarin, dua perempuan dan seorang lelaki leka berhibur di pusat karaoke haram di Kubang Kerian, di sini, tergamam apabila pihak berkuasa menyerbu pusat itu.

Operasi tanpa lesen

Ketua Turus Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) IPK Kelantan, Asisten Superintendan Nik Rosdi Nik Yahya, berkata dalam serbuan itu, polis turut menahan pemilik premis terbabit berusia 54 tahun. 

“Hasil risikan pihak berkuasa, pemilik premis terbabit mula menjalankan kegiatan tanpa lesen ini kira-kira sebulan lalu dan hanya membenarkan pelanggan dikenali dengan dikenakan bayaran sewa tertentu dibenarkan masuk bagi mengelakkan kegiatannya dikesan,” katanya. 

Beliau berkata, pemilik premis itu disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan Kelantan kerana menjalankan kegiatan hiburan tanpa permit sah, manakala tiga pelanggan premis terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan. 
Tuntut kerjasama semua

“Selain itu, polis turut merampas peralatan yang digunakan untuk karaoke haram itu, antaranya televisyen, lima pembesar suara serta pemain digital video, yang semuanya dianggarkan RM5,000. 

“Orang awam, terutama masyarakat setempat diminta sentiasa menyalurkan maklumat kegiatan haram ini dalam usaha pihak berkuasa membanteras kewujudan pusat karaoke haram daripada berleluasa di Kelantan,” katanya.