Klon MPV

Kuala Lumpur: Seorang pemilik kenderaan pelbagai guna (MPV) model Toyota Alphard terkejut apabila mendapati nombor pendaftaran kenderaannya dipalsukan dan turut digunakan untuk sebuah motosikal.
Malah nombor casis asal kenderaannya itu turut dipalsukan dan digunakan sindiket pada sebuah lagi kenderaan model sama dengan milik mangsa.
Kejadian disedari ketika mangsa yang juga pengusaha bengkel kereta itu ingin menukar nama pada geran kenderaan berkenaan di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan minggu lalu Mangsa yang keliru kemudian membuat laporan kepada JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Md Ziki A Rahman berkata, mangsa yang juga pemilik kenderaan Toyota Alphard itu diyakini menjadi mangsa sindiket pemalsuan atau klon kenderaan.
Menurutnya, sindiket klon kenderaan mempunyai kepakaran memalsukan nombor casis dan mengeluarkan dokumen palsu bagi membolehkan Toyota Alphard yang diklon itu dijual.
“Sebaik menerima aduan mangsa, kami melakukan serbuan di sebuah rumah di ibu kota untuk mengesan pemilik kenderaan klon itu.
“Siasatan mendapati pemilik kenderaan itu juga tidak mengetahui Toyota Alphard yang digunakan sejak setahun lalu kenderaan klon,” katanya kepada wartawan Harian Metro.
Menurutnya, JPJ terpaksa menyita kenderaan klon terbabit dan siasatan mendapati nombor casis kenderaan itu sama dengan kenderaan asal milik pengadu.
“Kenderaan palsu yang diklonkan itu dikesan dibeli peniaga terbabit daripada ahli sindiket tanpa menggunakan sebarang dokumen penukaran nama pemilik.
“Hasil pemeriksaan kimia mendapati nombor casis kenderaan klon itu sudah diubah suai dan diketuk.
Manakala nombor pendaftaran kenderaan asal dipindahkan kepada sebuah motosikal bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.
Foto
MD Ziki (kanan) memeriksa kereta yang diklon.