Alor Setar: Dakwaan mengenai penahanan sebuah lori ayam kononnya
menyorokkan enam kanak-kanak untuk diseludup ke Thailand, yang tersebar
luas menerusi laman sosial Facebook sejak kelmarin, disahkan palsu oleh
Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah.
Komander UPP Kedah, Abdul Latif Abdul Rahman mengesahkan pihaknya
tidak pernah membuat tangkapan membabitkan lori ayam dan kanak-kanak
seperti didakwa.
Katanya, dakwaan tangkapan terbabit juga tidak berasas sama sekali
kerana ayam dari negara ini tidak dieksport ke Thailand hingga
memungkinkan kejadian penyeludup menyorokkan enam kanak-kanak.
“Saya baru dimaklumkan mengenai dakwaan yang tersebar dan tidak tahu menahu hal penahanan lori ayam itu.
“Ini berikutan setiap laporan berkaitan tangkapan dimaklumkan kepada
saya terlebih dahulu tetapi semakan mendapati semua anggota dan pegawai
saya juga tidak tahu mengenai perkara ini.
Tiada ayam ke negara jiran “Adalah mustahil penyeludupan membabitkan
lori muatan ayam dari negara ini ke Thailand, kerana biasanya unggas
itu dibawa masuk dari negara jiran ke sini.
“UPP melakukan pemeriksaan ketat pada kedua-dua arah di Kilometer
1.3, Lebuh Raya Changlun-Bukit Kayu Hitam terhadap kenderaan yang keluar
masuk dari negara ini ke Thailand, selain kamera rakaman litar tertutup
(CCTV) yang dipasang di sekitar kawasan itu bagi memantau pergerakan
kenderaan yang mencurigakan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Abdul Latif berkata, UPP tidak menafikan kemungkinan penyeludupan
kanak-kanak itu boleh berlaku, namun dakwaan membabitkan tangkapan lori
ayam oleh UPP itu adalah tidak benar.
Turut disahkan agensi lain “Saya juga sudah berhubung dengan agensi
lain, namun tiada sebarang maklumat mengenai kejadian itu,” katanya.
Cerita mengenai kejayaan anggota UPP Bukit Kayu Hitam menahan sebuah
lori ayam ketika cuba menyeludup enam kanak-kanak itu tersebar sejak
kelmarin menerusi Facebook, selain aplikasi whatsapp dan wechat.
Antara berita disebarkan adalah tiga daripada enam kanak-kanak itu
masih boleh bercakap walaupun dalam keadaan khayal, namun empat lagi
membisu dipercayai kerana disuntik dadah.