Setuju syor kaji semula larangan: Hishammuddin



Kuala Lumpur: Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata secara peribadi beliau bersetuju larangan penggunaan cermin gelap untuk kenderaan dikaji semula. 

Namun, menjawab soalan rakan twitternya mengenai laporan muka depan BH, Sabtu lalu mengenai peraturan itu yang dianggap sudah lapuk, beliau berkata, mahu mendapatkan pandangan semua pihak berkepentingan mengenainya terlebih dulu. 


Hishamuddin yang kini berada di Emiriah Arab Bersatu (UAE) kerana menyertai rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam lawatan rasmi ke negara itu, tidak dapat dihubungi untuk mengulas lanjut pandangannya.



Larangan tidak sesuai

Maklum balas beliau dalam twitter itu adalah susulan laporan khas BH sejak Sabtu lalu mengenai pandangan pelbagai pihak berhubung larangan penggunaan cermin gelap kenderaan sudah tidak sesuai di negara ini. 

Ahad lalu, Timbalannya, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, menyatakan kesediaan Kementerian Pengangkutan untuk mengkaji semula larangan penggunaan cermin gelap bagi kenderaan pelbagai guna (MPV) dan van tanpa but. 

Abdul Aziz berkata, beliau sudah meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengkaji semula larangan itu berikutan aduan orang ramai yang menyifatkan peraturan berkenaan tidak lagi sesuai atas beberapa faktor. 
Faktor cuaca antara punca

Antara faktor dikemukakan termasuk keadaan cuaca negara ini yang panas sepanjang tahun, menyebabkan pemandu dan penunggang tidak selesa kerana terdedah kepada kepanasan teruk serta boleh menjejaskan kesihatan. 

Pengimport kereta juga merungut larangan itu memberi kesan kepada mereka kerana terpaksa menukar cermin asal yang gelap kepada cermin cerah sekiranya mahu melepasi syarat ditetapkan JPJ. 

Ada pandangan cermin cerah antara punca peningkatan kes pecah kenderaan untuk mencuri barang di dalamnya.