Hadi Awang dimasukkan hospital di Istanbul kerana sesak nafas


KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menghadiri satu program di Istanbul, dimasukkan ke sebuah hospital universiti di Universitesi Hastansi selepas mengalami sesak nafas. 

Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar ketika dihubungi di Istanbul, berkata Abdul Hadi berada dalam keadaan stabil dan dipercayai mengalami sesak nafas kerana kepadatan jadual program sepanjang di Istanbul. 


Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS dan turut bersama Abdul Hadi ke Istanbul selain Dr Syed Azman Nawawi berkata, Presiden PAS itu dibawa dengan ambulan ke hospital kira-kira jam 8.45 malam waktu Malaysia. 


Katanya, semua pihak diminta mendoakan kesihatan Abdul Hadi dan beliau kini dinasihatkan berehat di bawah pengawasan doktor. 

Dr Ahmad Shamsuri berkata, Abdul Hadi berada di Istanbul kerana menghadiri Persidangan Umat Islam Antarabangsa anjuran Pusat Pendidikan Ekonomi yang berpusat di Istanbul.