Kasih 12 tahun ke jenjang pelamin

Kota Bharu: Dua belas tahun menyulam kasih, akhirnya penyanyi Nur Farah Idayu Yaakub atau Idayu diijabkabulkan dengan pasangannya, Shahrul Fadzil, 30, di rumah keluarga di Pasir Hor, dekat sini, pagi semalam.
Dengan sekali lafaz, bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) itu sah menjadi isteri Shahrul yang juga komposer dengan berwalikan abangnya, Ahmad Fairul Yaakob.
Idayu yang mengenakan persalinan serba putih menerima sembilan dulang berbalas sembilan kepada pihak lelaki, berserta wang hantaran RM15,000.
Pasangan itu diraikan dalam majlis yang dihadiri kira-kira 500 tetamu.
Ketika ditemui, Idayu melahirkan rasa syukur kerana hubungan yang disulam sejak menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam membawa ke jinjang pelamin.
“Kami sama-sama menuntut dalam jurusan muzik di UiTM dan perkenalan ketika zaman belajar itu membawa kepada fasa yang lebih serius.
“Kalau dihitung hampir 12 tahun juga kami bersama sebelum membuat keputusan untuk bertunang pada Ogos tahun lalu.
“Alhamdulillah hari ini (semalam), kami sah bergelar suami isteri,” katanya.
Ditanya mengenai kerjaya seninya, Idayu yang juga adik kepada Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan memberitahu, dia masih aktif menyanyi di majlis tertentu dan menerima undangan untuk persembahan korporat.
Katanya, suami yang berkecimpung dalam bidang sama juga tidak menghalang dia untuk bergiat aktif, malah sentiasa memberi sokongan penuh.
“Insya-Allah saya akan tampil dengan album baru tidak lama lagi,” katanya.
Pasangan itu juga merancang berbulan madu di tiga destinasi iaitu Langkawi, Jepun dan Bali pada Jun ini, selepas majlis menyambut menantu di Jitra Kedah dan majlis resepsi di Kuala Lumpur selesai.
Foto
IDAYU dan Shahrul pada majlis perkahwinan mereka di kediaman pengantin perempuan di Pasir Hor, semalam.