Sharifah Aini hidap radang paru-paru


Kuala Lumpur: Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini (gambar), kini dalam rawatan pakar perubatan sebuah hospital swasta di ibu negara. 

Masalah kesihatan artis veteran itu disahkan sahabat baiknya, Khalilah Mohd Talha, yang juga Pengurus Besar Komunikasi Strategik PLUS Malaysia Berhad, menerusi coretan di laman Facebook penyanyi itu. 

Namun, Khalilah tidak menyatakan penyakit yang sedang dideritai Sharifah Aini serta tidak menyatakan lokasi pusat rawatan berkenaan.



Sebelum itu, Sharifah Aini pernah menulis di laman sosialnya, menyatakan beliau dijangkiti radang paru-paru. Namun, sehingga malam tadi, penyanyi Seri Dewi Malam itu gagal dihubungi. 

Reda dengan ketetapan

Khalilah turut memaparkan pesanan Sharifah Aini kepada peminatnya, yang tertanya-tanya mengenai keadaan dirinya selama ini. 

“Setiap dari kita tidak tahu bila kita akan dijemput oleh-Nya. Jika ditakdirkan Allah, sampai masanya untuk saya pulang ke rahmatullah, jika ditakdirkan ujian yang Allah berikan ini berakhir dengan saya keluar sebagai jenazah, dengan hati yang damai, saya tenang dan reda dengan apa yang ditetapkan. 
“Doakan saya berakhir dalam husnul khatimah. Sesuatu yang saya ingin anda, keluarga FB saya tahu, saya teramat sayangkan anda semua. Saya sangat menghargai segala kasih sayang, ingatan, doa dan budi baik yang anda curahkan kepada saya selama ini. 

“Doakanlah kesejahteraan saya, sedekahkan al-Fatihah, ingatlah saya dalam setiap doa anda. Insya-Allah, kita semua akan menjadi keluarga semula di jannah!” katanya. 

Lebih 20 jam coretan itu dimuatkan ke laman sosialnya itu, ia menggamit perhatian lebih 2,000 peminat dengan hampir 300 daripada mereka berkongsi perkembangan berkenaan di Facebook masing-masing, selain hampir 700 komen yang rata-ratanya turut mendoakan kesejahteraan penyanyi ini.