Jeritan laluan berbukit


Perjalanan bas persiaran membawa 47 penumpang membeli-belah di Wang Kelian, dekat sini, berakhir tragedi apabila kenderaan itu terjunam ke bawah cerun sedalam 15 meter mengakibatkan 14 cedera termasuk dua parah, semalam.

Kejadian berlaku jam 9.30 pagi ketika bas persiaran dinaiki ahli rombongan anjuran Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sedang menuruni bukit di laluan selekoh terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik lima kilometer dari pasar sempadan Wang Kelian-Wang Prachan, di sini.

Difahamkan, rombongan 47 penumpang majoritinya wanita termasuk enam kanak-kanak itu bertolak dari Kepala Batas, Pulau Pinang jam 7 pagi semalam sebelum kenderaan itu terbabit dalam kemalangan di lokasi berkenaan.

Berikutan kemalangan itu, dua mangsa parah sementara 12 cedera ringan manakala bakinya dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar dan sudah dibenarkan pulang.

Mangsa, Amidah Hamid, 48, berkata, dia bersama anak perempuan berusia 17 tahun mengikuti bas rombongan anjuran Sahabat AIM untuk melawat sekitar Wang Kelian dan Padang Besar, di sini, yang dijadualkan selama satu hari.

Katanya, rombongan bertolak dari Kepala Batas, Pulau Pinang jam 7 pagi dan tiba di laluan ke Wang Kelian sekitar jam 9 pagi sebelum mendengar pemandu bas menyebut Allahuakbar dengan kuat ketika sedang menuruni laluan berbukit di satu selekoh.

“Saya terdengar pemandu menjerit Allahuakbar lalu terus merentap dan memeluk anak perempuan serta bersedia menghadapi apa kemungkinan yang berlaku.

“Nasib kami baik kerana sempat berpaut, namun ada beberapa penumpang lain saya lihat tergolek bersama barangan sehingga ke tempat duduk hadapan sebaik bas terjunam ke cerun.
“Alhamdulillah saya bersama anak selamat.

Tindakan pantas pemandu yang menjerit membolehkan kami bersedia walaupun pasrah dengan kejadian itu,” katanya.

Katanya, sepanjang perjalanan dari Kepala Batas, pemandu terbabit membawa bas dalam keadaan cermat dan berhati-hati, namun tidak menyangka akan berlaku kemalangan.
Seorang lagi mangsa, Zulita Harun, 39, berkata, kejadian begitu pantas menyebabkan dia tidak sempat berbuat apa-apa ketika bas itu kemalangan.

“Ketika itu saya sedang asyik melihat pemandangan persekitaran sebelum menyedari bas tiba-tiba bergeser dengan penghadang jalan di selekoh ketika menuruni bukit.

“Bagaimanapun, saya sempat berpaut pada tempat duduk, tetapi terlepas apabila bas terbalik menyebabkan saya tergolek sehingga ke depan bas,” katanya yang retak tangan kiri dan ditahan di wad kecemasan HTF, di sini, untuk rawatan lanjut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perlis Mohd Fadzil Haroon berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.41 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kangar serta Padang Besar dikejarkan ke lokasi kejadian.


“Berdasarkan maklumat, bas dipercayai hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan lalu terbalik ke dalam gaung menyebabkan keempat-empat tayarnya menghadap ke atas,” katanya.