CUEPACS gesa kaji dasar had tempoh beri pencen terbitan


Kuala Lumpur: Kerajaan digesa mengkaji semula dasar perkahwinan dalam persaraan yang mengehadkan pemberian pencen terbitan kepada penerima manfaat untuk tempoh 20 tahun saja, dilaksanakan mengikut kes.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan dasar sedia ada tidak sesuai dengan keadaan semasa, selain perlu dilihat mengikut kes kerana terdapat penerima manfaat seperti balu yang sudah berusia dan tiada tempat bergantung. 



Ia juga perlu dikaji berikutan perubahan jangka hayat penduduk Malaysia yang semakin panjang. 


Jadi, siapa nak bela golongan ini, apatah lagi kalau sudah berusia dan tiada anak” Azih Muda, Presiden CUEPACS


Presiden CUEPACS, Azih Muda, berkata kerajaan perlu mengkaji semula dasar sedia ada dengan memastikan kes seperti balu sudah berusia dan tidak mungkin berkahwin lagi terus menerima pencen sehingga akhir hayat mereka.

Katanya, golongan seperti itu memerlukan pembelaan daripada kerajaan dan mereka sepatutnya menerima faedah persaraan arwah suami mereka.

“Kerajaan perlu kaji balik dasar perkahwinan dalam persaraan sebab tempoh 20 tahun tak cukup. Andainya mereka kahwin lebih 20 tahun kemudian suami mati, mereka tak dapat apa-apa. Jadi, siapa nak bela golongan ini, apatah lagi kalau sudah berusia dan tiada anak.

“Kerajaan tidak boleh menganggap ini sebagai kes terpencil. Dasar sedia ada perlu dipinda secara menyeluruh dan membuat pengecualian bagi kelompok ini,” katanya kepada BH semalam. 
Pencen terbitan ialah faedah persaraan yang dibayar kerajaan setiap bulan kepada balu, duda atau anak anggota berpencen atau pesara yang meninggal dunia.

Berbeza dengan penerima manfaat yang berkahwin sebelum tempoh persaraan dan menerima pencen terbitan sepanjang hayat, mereka yang berkahwin dalam tempoh persaraan hanya menerima pencen terbitan bagi tempoh 20 tahun saja. Ketika ini, ada 586,000 pesara kerajaan.

Azih berkata CUEPACS ada menerima rayuan daripada balu yang ditamatkan bayaran pencen terbitan arwah suami mereka kerana melebihi tempoh ditetapkan.

“Kes terkini yang dirujuk kepada kami ialah seorang balu berusia 72 tahun yang tidak mempunyai anak di Alor Setar, Kedah, yang merayu kerajaan meneruskan bayaran pencen terbitan itu,” katanya.