Sik: Kehidupan sebuah keluarga di daerah ini ibarat berada dalam
‘neraka dunia’ berikutan terpaksa menerima ancaman termasuk ugutan bunuh
daripada salah seorang ahli keluarga mereka tanpa diketahui puncanya
sejak lebih sebulan lalu.
Akibat itu, kehidupan enam beranak termasuk ibu mereka kini hidup
dalam ketakutan sehingga terpaksa menjadi ‘pelarian’ berikutan pernah
diugut dengan parang oleh lelaki berusia 30-an terbabit yang baru
dibebaskan dari Penjara Alor Setar, baru-baru ini.
Abang kepada lelaki itu yang mahu dikenali sebagai Abdul, 58,
berkata, mereka sekeluarga tidak tahan dengan sikap adik bongsunya dan
meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera sebelum berlaku
pertumpahan darah kerana tindakannya yang suka mengamuk.
Menurutnya, dia terpaksa membawa ibunya berusia 80 tahun ke rumah
adik-beradik lain sejak sebulan lalu kerana bimbang lelaki itu mengamuk
berikutan dia pernah mengugut mahu membunuh mereka termasuk ibu kandung
sendiri dengan parang.
“Kami sudah tidak tahan dengan perangainya yang suka mengamuk dan mengugut akan membunuh kami semua.