Lima filem Malaysia sasar jualan RM3 juta di Cannes

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menjangka jualan RM3 juta melalui pembabitan syarikat produksi Malaysia dalam pasaran filem antarabangsa, Marche Du Film sempena Festival Filem Antarabangsa Cannes di Perancis bermula, semalam. 

Keyakinan itu berasaskan kekuatan kandungan filem atau produk yang diterbitkan produksi Malaysia, selain perkhidmatan berkaitan pemasaran menerusi Astro Shaw, KRU International, Antenna Entertainments, Pixel Play, Sixty2 Pictures dan Citra Ummah Network. 

Marche Du Film yang tamat pada 23 Mei ini diadakan di Palais Des Festival, iaitu tempat sama berlangsungnya Festival Filem Antarabangsa Cannes pada Mei setiap tahun. 

Delegasi Malaysia ke Marche Du Film diketuai FINAS dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Persatuan Kandungan Kreatif Malaysia (CCAM). 

Penolong Pengarah Pasaran Antarabangsa 2 FINAS, Ahmad Syazli Muhd Khiar, berkata sasaran berkenaan munasabah berdasarkan sambutan diberikan terhadap produk dan perkhidmatan Malaysia yang menghasilkan perolehan RM2.51 juta tahun lalu. 

FINAS tambah ruang pameran 

Ini adalah kali keempat FINAS dan delegasi Malaysia menyertai Marche Du Film sejak tahun 2010. Marche Du Film menyediakan program pasaran filem yang akan dihadiri 600 peserta daripada lebih 100 negara yang menjalankan urus niaga filem. 
FINAS menambah ruang pameran daripada 36mps pada tahun lalu kepada 40mps bagi memenuhi keperluan dan penambahan bilangan syarikat yang menyertai delegasi karyawan Malaysia ke pasaran ini, katanya. 

Ahmad Syazli berkata, filem dari Malaysia Apokalips X, In The Dark, Kolumpo, Take Me To Dinner dan The Journey terpilih untuk tayangan pasar filem berkenaan. 

Katanya, filem Apokalips X terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd, Kolumpo (Otto Films Sdn Bhd ), In The Dark (Amok Films), Take Me To Dinner (Garang Pictures) dan The Journey (Astro Shaw Sdn Bhd) ditayangkan pada acara berkenaan bagi tatapan pembeli, ejen antarabangsa dan pengedar filem dari seluruh dunia. 

Bagaimanapun, katanya, tayangan untuk pasar filem diusahakan produser yang hadir, bukan filem pilihan FINAS. 

FINAS menyelaras delegasi karyawan Malaysia dari segi kemudahan ruang pameran, urusan pendaftaran dan promosi. Selain itu, FINAS memainkan peranan sebagai pemudah cara dan mewakili Malaysia sebagai penganjur kepada syarikat filem tempatan, katanya.