Penyokong Pahang, JDT diingat jaga tingkah laku


Kuantan: Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) meminta penyokong Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjaga tingkah laku pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur, Jumaat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Perlawanan PBNP, Raja Mustafa Shah Raja Jalil Shah berkata, pihaknya tidak mahu berlaku kekecohan hingga boleh dikenakan tindakan tegas oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). 

“Kita boleh nilai sendiri seperti yang berlaku terhadap PAFA (Persatuan Bola Sepak Perak) yang bukan sahaja didenda RM140,000, malah terpaksa bermain tanpa penonton disebabkan kekecohan yang ditimbulkan segelintir penyokong.



“Atas sebab itu kita menasihatkan penyokong Pahang dan JDT menjaga tingkah laku mereka sepanjang berada di stadium termasuk selepas berakhir perlawanan.

“Ini kerana tujuan kita ke stadium adalah untuk memberikan sokongan terhadap pasukan masing-masing dan bukannya datang semata-mata untuk bergaduh hingga menyebabkan kekecohan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Perlawanan PBNP di sini, semalam.

Peruntukan 32,500 tiket

Hadir sama, Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim dan Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh. 
Ditanya jumlah tiket pada perlawanan Jumaat ini, Raja Mustafa Shah berkata, PBNP memperuntukkan sebanyak 32,500 keping tiket yang mula dijual pada jam 9 pagi, esok.

Katanya, sejumlah lapan kaunter termasuk satu kaunter wanita disediakan kepada peminat bola sepak bagi mengelakkan penyokong berasak-asak.

“Bagaimanapun, setiap individu hanya dibenarkan membeli empat tiket dan pemegang tiket perlu memasuki stadium sebelum jam 8 malam.

“Langkah itu bagi memastikan tidak berlaku kekecohan disebabkan kehadiran penyokong pada saat-saat akhir yang boleh mencetuskan masalah.

Pada masa sama, sebanyak 60 alat pengimbas digunakan untuk memeriksa tiket bagi memastikan penyokong yang memasuki stadium memiliki tiket yang mempunyai logo FAM,” katanya.