'TAK MASUK AKAL'


Johor Bahru: “Keputusan ini tidak masuk akal.” Itulah reaksi spontan bekas pengurus Johor Darul Ta’zim II (JDT II), On Jabbar@Jaafar sebaik mengetahui dia dikenakan hukuman penggantungan selama 20 tahun, selain denda RM50,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Dia dikenakan hukuman itu atas kesalahan menumbuk pengadil, Sukri Abd Rahman selepas perlawanan Liga Perdana di antara JDT II dan UiTM FC di Stadium Pasir Gudang pada 19 April lalu.


Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, selepas selesai membincangkan isu berkenaan.
Mana unsur keadilan

Mengulas lanjut, On yang ditemui di sini, turut melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan tindakan jawatankuasa berkenaan yang langsung tidak memanggilnya untuk memberi keterangan tambahan sebelum menjatuhkan hukuman tatkala surat rayuan sudah di hantar.