Kuala Lumpur: Tujuh puluh satu hari telah berlalu tetapi khabar angin
mengenai nasib pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH 370 masih ‘berlegar’
dalam ruang media.
Yang terbaharu ialah berpandukan Alat
Pemancar Lokasi Kecemasan (ELT), yang didakwa tidak pernah dibincangkan
sejak kehilangan pesawat dan oleh kerana ia tidak pernah memancar
apa-apa isyarat, timbul spekulasi bahawa MH370 tidak terhempas di
selatan Lautan Hindi dan masih dalam keadaan baik.
ELT ialah suar (api isyarat) kecemasan yang digunakan dalam
pesawat bagi pihak berkuasa penyelamat berada dalam keadaan
berjaga-jaga dan memberi petunjuk tentang lokasi dan jenis pesawat yang
mengalami masalah.
Tak hantar isyarat
Dalam temubual eksklusif
dengan BERNAMA, bekas Ketua Juruterbang MAS, Datuk Kapten Nik Ahmad
Huzlan Nik Hussain, berkata walaupun pelik bahawa ELT MH370 tidak
menghantar apa-apa isyarat, seseorang harus faham bahawa ELT akan
memancarkan isyarat bergantung kepada hentaman.
“Sudut hentaman
amat penting untuk membolehkan alat itu aktif secara automatik. Sebab
mengapa mereka mempunyai petunjuk hentaman tertentu ialah supaya apabila
pesawat membuat pendaratan dalam situasi sukar di landasan, ELT tidak
akan berfungsi.
“Jika ELT benar-benar sensitif, setiap kali
pesawat hendak membuat pendaratan dalam situasi sukar, ELT akan aktif
secara automatik. Oleh itu, ia memberi nilai prapenentuan untuk alat itu
berfungsi,” beliau menjelaskan.
Beliau berkata dalam insiden pesawat Air France (AF), ELT
tidak aktif dan pesawat itu terhempas pada kelajuan perlahan, kira-kira
100 kilometer sejam, dan tidak memberi tindak balas yang mencukupi untuk
mengaktifkan ELT.
ELT direka khusus untuk aktif secara
automatik akibat ledakan tertentu seperti hentaman atau tersentuh dengan
air, serupa seperti alat pengesan kotak hitam.
“Walaupun
pesawat (Air France 447) tersentuh air, tetapi ia kemudian tenggelam,
isyarat tidak dipancarkan. Sentuhan air akan menjejaskan jarak,
trajektori, daya kekuatan ELT. Oleh itu, jarak pemancaran ELT mungkin
terbatas akibat air,” kata beliau dan menambah bahawa Sistem Pelaporan
dan Komunikasi Pesawat (ACARS) yang memancarkan isyarat.
Menurut
Nik Ahmad Huzlan, sebelum AF447 terhempas ke dalam Lautan Atantik,
pelbagai isyarat dipancarkan oleh ACARS kerana ia telah mengesan satu
demi satu kerosakan yang memudahkan lokasi pesawat di dasar laut
dikesan.
Beliau menjelaskan bahawa ELT tidak berkaitan dengan
alat transponder pesawat sambil berkata ia berfungsi sendiri dan jangka
hayat bateri boleh bertahan hanya 48 jam selepas aktif secara sendiri
kerana isyaratnya yang kuat dan keupayaannya dikesan dari jarak jauh,
tidak seperti isyarat ping.