Peguam Muslim Menulis: Tuntutan diyyah ganti tali gantung



Undang-undang jenayah syariah beri peluang maafkan pesalah

Minggu lalu, seorang wanita dari negara Timur Tengah membuat tindakan tidak diduga apabila beliau memaafkan pembunuh anaknya beberapa saat sebelum pembunuh itu dijerut leher di tali gantung. 

Pembunuh itu terlepas daripada hukuman gantung atas belah ihsan ibu kepada si mati mengikut undang-undang jenayah negeri yang memberi pilihan kepada ahli keluarga si mati untuk memaafkan pembunuh dan menuntut ‘diyyah’ (wang ganti rugi terhadap pihak menyebabkan kematian). 

Pemerhati serta media antarabangsa menyifatkan tindakan itu sebagai suatu perkara dibenarkan mengikut undang-undang jenayah negara itu tanpa memahami bahawa ia sebenarnya adalah berlandaskan undang-undang jenayah syariah.



Hukuman qisas


Mengikut undang-undang jenayah syariah, seseorang yang mengambil nyawa insan lain dengan sengaja telah melakukan perbuatan tidak sah dan dikecam oleh syariah. Perbuatan itu mewajibkan pelakunya dikenakan hukuman qisas iaitu dihukum bunuh jika sabit kesalahan. 

Walaupun begitu, ahli keluarga si mati mempunyai pilihan untuk memaafkan pelakunya dan menuntut wang diyyah. Selain diyyah, mahkamah boleh mengenakan hukuman sampingan lain yang bersesuaian. 
Dalam kes tadi, walaupun pembunuh terlepas daripada hukuman gantung, pembunuh masih dikehendaki menjalani hukuman penjara. Maksudnya, hukuman qisas iaitu gantung sampai mati boleh digantikan dengan hukuman lebih ringan melalui diyyah dan penjara mengikut budi bicara mahkamah. 

Ini antara hikmah undang-undang jenayah bertujuan menghalang, menghukum, memberi peringatan, memberi pengajaran serta menginsafkan masyarakat supaya tidak melakukan jenayah. Penekanan harus dibuat untuk mendidik masyarakat memahami undang-undang jenayah syariah khususnya hudud. 

Semasa pemerintahan Rasulullah SAW di Madinah, bukan Islam terdiri daripada Nasrani, Yahudi dan Poletis Arab diberi pilihan sama ada ingin diadili dengan undang-undang syariah atau undang-undang mereka sendiri. 

Setelah beberapa lama, apabila mereka menyaksikan keadilan undang-undang syariah, kebanyakan bukan Islam di Madinah memilih untuk diadili mengikut undang-undang syariah. 


Fahami undang-undang jenayah syariah


Jika masyarakat memahami undang-undang jenayah syariah dan peranannya dalam membentuk serta mendidik masyarakat berakhlak baik, kita boleh mengelak pelbagai masalah sosial, seperti pesta hiburan keterlaluan di mana pengunjung diberi alkohol dan dadah sehingga kehilangan nyawa. 

Perkara lebih mendukacitakan, pesta hiburan itu ditaja pihak berkemampuan dari segi kewangan serta kedudukan. Mereka mengadakan pesta itu untuk mengaut keuntungan daripada orang ramai yang menyokong perniagaan mereka selama ini. 

Jika kita mengenakan hukuman, qisas dan hudud dalam situasi itu, penganjur hendaklah membayar wang diyyah kepada pengunjung yang kehilangan nyawa. 

Pengunjung pula boleh dikenakan hukuman sebat atas kesalahan mengambil minuman memabukkan dan dadah berlebihan. 

Dengan cara itu, penganjur akan bersikap lebih bertanggungjawab dan tidak terdorong menganjurkan acara membawa kepada maksiat semata-mata ingin mengaut keuntungan. Pengunjung pula tidak berani ke tempat tempat sebegini secara terbuka. 

Adalah amat memalukan apabila kita dikenali di dunia antarabangsa sebagai negara penganjur acara hiburan serta pesta liar. Sepatutnya kita hendaklah menjadi negara bermaruah yang maju dari segi teknologi, bersopan santun dan mempunyai budaya tinggi. 

Apabila kita halusi polemik mengenai pelaksanaan hudud sebagai sebahagian undang-undang jenayah, mereka yang menentang pelaksanaan hudud sedar bahawa mereka akan kehilangan segala keuntungan mereka nikmati selama ini. 

Pelaksanaan hudud akan mendidik masyarakat menjalani kehidupan lebih bermakna dengan menjauhi perbuatan merugikan masyarakat dan melemahkan pemikiran. 

Lebih penting, pelaksanaan hudud bertujuan meletakkan tanggungjawab tinggi ke atas golongan mempunyai kedudukan supaya bersikap lebih bertanggungjawab dan menunaikan amanah terhadap masyarakat. 



Penulis ialah Naib Presiden 1 Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)