Amalan Nasi Kangkang Pada Masa Kini


Nasi kangkang atau dikenali sebagai nasi tangas adalah amalan khurafat segelintir masyarakat Melayu.Walaupun zaman  serba moden tetapi masih lagi ada yang mengamalkan nasi kangkang bagi menundukan suami. Pengamalnya tidak takut akan dosa melakukan perkara tersebut kerana telah dihasut oleh syaitan yang akan membawa mereka ke naraka jahanam. Oleh itu jauhi ilmu tersebut walaupun dengan pelbagai alasan sekalipun.
Walaupun Islam melarang, mengharamkan dan menyifatkan perbuatan itu satu dosa besar, keanehan atau apa yang dianggap kesan mujarab sesuatu amalan itu masih tetap dipraktikkan hingga ke hari ini. Jika tidak secara terang-terangan, tetapi masih ada yang melakukannya secara senyap-senyap.
Alasan yang selalu diberikan ialah menundukkan suami liar yang selalu menimbulkan masalah dalam rumah tangga seperti `makan luar dan hidung belang. Wanita sebegini selalunya inginkan suami yang sentiasa berada di rumah, tidak berfoya-foya dan lebih mudah mendengar arahan daripada isteri. Bak kata pepatah seperti lembu dicucuk hidung.
Sungguhpun begitu, sejauh mana amalan berkenaan boleh menzahirkan hajat wanita berkenaan masih sukar dipastikan dengan kata-kata kerana ia diukur berdasarkan `kehebatan  seseorang bomoh itu.
Penghasilan nasi kangkang sama seperti namanya agak menjijikkan kerana untuk menyediakannya, wanita berkenaan perlu berada pada keadaan haid atau datang bulan. Wanita berkenaan dikatakan perlu berada dalam keadaan duduk mencangkung di atas nasi yang masih panas untuk selama lebih kurang 10 hingga 15 minit sehingga mengalir air yang berwap daripada tubuhnya ke dalam nasi berkenaan dan selalunya amalan ini perlu dilakukan beberapa kali untuk lebih mujarab.
Perkara yang dibantu oleh syaitan seperti ini selalunya menjadi, khususnya membabitkan pasangan yang masing-masing cetek ilmu pengetahuan agamanya. Walaupun dalam beberapa kes ada suami yang menjadi bodoh akibat makan benda yang kotor, kadangkala itulah yang isteri inginkan iaitu suami yang mengikut telunjuk kata.
Bagaimanapun Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, berkata nasi kangkang hanyalah nama yang digunakan masyarakat kurang terpelajar kerana ia tidak memberikan sebarang kesan.
Katanya, sekiranya berkesan kepada suami yang di bomoh itu, ia hanyalah dikaitkan dengan kesan psikologi individu berkenaan saja yang percaya kepada keberkesanannya menerusi apa yang diperkatakan oleh masyarakat sekeliling mengenai kehebatan ilmu dan pengamalnya itu.
Kalau dalam psikologi sosial, ia sama seperti kesan `brain wash yang mana boleh mempengaruhi kita kalau selalu dikatakan tangas ia meninggalkan kesan hebat. Antara syaitan dan manusia adalah dua perkara yang berbeza dan hanya Allah yang membenarkan ia terjadi dan sebaliknya.
Kalau kita menjadi was was terhadap pasangan kita sama ada dibomohkan secara senyap dan sebagainya, yakinkan saja tidak ada apa yang mampu memberi kesan kepada manusia dalam dunia sekarang kecuali dengan pertolongan Allah. Hanya dengan kekuatan diri dan percaya kepada Tuhan, kita mampu mengatasinya. Sebagai manusia saya juga mengharapkan kita jangan terlalu menggambarkan benda itu sampai berlebihan, sebaliknya lebih rasional dalam sebarang perkara.