Kuala Lumpur: Umat Islam tidak wajar menuding jari kepada Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung kelewatan menggantung sijil
halal dua produk keluaran Cadbury Confectionary (M) Sdn Bhd.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha, berkata ini kerana
pihaknya mengambil tindakan segera menangani isu berkenaan sebaik
menerima maklumat mengenai perkara itu.
Katanya, menerusi maklumat yang diterima pada Jumaat lalu, pihaknya
bermesyuarat pada keesokannya dan membuat keputusan menggantung sijil
halal dua produk keluaran syarikat itu.
“Kami sebenarnya tidak lambat membuat tindakan kerana
pemeriksaan yang kita lakukan mendapati syarikat itu mengikut prosedur
yang ditetapkan.
Layak dapat status halal “Pemeriksaan terakhir pada 20 Februari lalu
mendapati produk mereka layak mendapat status halal. Bagaimanapun,
selepas pemeriksaan berkala dilakukan, dan jika ada bahan yang mereka
tidak beritahu kita, sukar untuk membuat tindakan melainkan ada aduan.
“Dalam hal ini, kami tidak menerima aduan atau laporan mana-mana
pihak melainkan melalui media dan terus membuat tindakan. Sebagai
seorang Islam, memang kami prihatin dan menjaga kepentingan agama, bukan
untuk melindungi sesiapa,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau mengulas pelbagai pihak yang mempertikai tindakan JAKIM dan
Kementerian Kesihatan yang didakwa lewat mendedahkan keputusan ujian
tiga sampel coklat Cadbury.
Patuhi syarak
Media melaporkan keputusan dikeluarkan selepas tiga bulan analisis
dijalankan di makmal dan orang ramai dimaklumkan secara rasmi selepas
maklumat berkenaan bocor dan tersebar luas melalui media sosial.
Othman menjelaskan semua pihak mempunyai tanggungjawab dalam
menangani isu berkenaan dengan JAKIM berperanan memastikan segala proses
pengeluaran produk mematuhi syarak.
Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan turut berperanan dalam bidang penguatkuasaan, manakala
Kementerian Kesihatan bagi menentukan kandungan bahan menepati syarat.
“Semua agensi melaksana tugas masing-masing dan jika berkaitan
status halal, mereka perlu rujuk kepada JAKIM terlebih dahulu kerana
JAKIM adalah badan yang diiktiraf untuk pensijilan halal di negara
kita,” katanya.