Hanez Suraya, 29, dan Romie Razin Adilha Abd Jais, 34, memfailkan writ saman itu melalui sistem e-Filing Mahkamah Tinggi, di sini semalam, menerusi firma Tetuan Harjit Sandhu. Plaintif menuntut ganti rugi am, teladan teruk serta kos, termasuk faedah lima peratus setahun dari tarikh pemfailan hingga penyelesaian penuh.
Sebelum menaiki pesawat, beliau dan Romie menyerahkan tiket mereka kepada tiga petugas di pintu G8 yang memakai pakaian seragam defendan. Beberapa jam selepas mendarat di Bangkok, mereka dimaklumkan keratan tiket penerbangan mereka dimuat naik ke satu akaun Facebook dikenali ‘Kami Sokong Liyana Manan’.
Akaun Facebook berkenaan, dipercayai diwujudkan sebagai menjadi medan perdebatan mereka yang menyokong Liyana atau Nur Liyana Abdul Manan, isteri kepada Romie ketika itu yang kini dalam proses perceraian.
Komen berunsur cemuhan
Hanez Suraya berkata, ada lebih 1,000 komen berunsur cemuhan serta cacian ditujukan terhadap mereka menerusi akaun Facebook berkenaan, sekali gus mendakwa tindakan MAS menerusi petugasnya mendedahkan keratan tiket penerbangan mereka di laman sosial sebagai tidak beretika dan melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) 2010.
Sementara itu, Harjit berkata, pihaknya pada 21 April lalu menghantar surat kepada pengurusan MAS bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kejadian berkenaan sebelum syarikat penerbangan terbabit memaklumkan pada 24 April bahawa petugas pintu G8 adalah kakitangannya dan meminta diberikan masa untuk membuat siasatan.
“Mereka juga meminta anak guam saya menyerahkan tiket penerbangan lima hari kemudian, sehingga 12 Mei lalu, kami belum menerima sebarang jawapan berhubung pendedahan tiket penerbangan yang dilakukan kakitangan MAS kepada anak guam kami yang ternyata melanggar hak peribadinya sebagai penumpang,” katanya.
Ketika ditemui media kemudian, pelakon berkenaan berkata, tindakan terbabit tidak boleh diterima kerana menceroboh privasinya sehingga menjadi perbincangan umum di internet.