Celcom lancar edisi terhad KAX

Celcom Axiata Bhd memeriahkan musim demam bola dengan melancarkan promosi edisi terhad KAX, yang ditawarkan secara percuma kepada setiap pelanggannya yang mendaftar untuk perkhidmatan prabayar utama Celcom, Xpax. 

Promosi yang berakhir 31 Ogos ini memberi peluang untuk pelanggan Xpax mengumpul lapan KAX pelbagai tema yang direka khusus menepati negara yang menjadi pilihan utama peminat Piala Dunia Brazil tahun ini. 

Ketua Pegawai Pemasaran, Zalman Aefendy Zainal Abidin, berkata pengenalan promosi itu bertujuan menarik pelanggan baharu dan menggalakkan lagi pelanggan menggunakan perkhidmatan datanya sepanjang tempoh sukan itu berlangsung. 

Sasar 30 peratus 

Katanya, pihaknya yakin penggunaan data syarikat akan melonjak sepanjang tempoh perlawanan Piala Dunia dengan sasaran peningkatan 30 peratus pada tahun ini. 

“Ini adalah promosi pertama kami musim ini dan Celcom akan melancarkan beberapa promosi lagi bagi memeriahkan sambutan sukan terbesar itu di negara ini. 

“KAX diperkenal berdasarkan sambutan tinggi yang kami peroleh menerusi promosi yang sama sebelum ini. Kami percaya promosi ini bersesuaian dengan sambutan pada kali ini,” katanya kepada media di Kuala Lumpur, semalam. 
Pelanggan Celcom berpeluang mendapatkan edisi terhad KAX di pusat penebusan promosi meliputi semua cawangan Celcom Blue Cube seluruh negara dan rangkaian Celcom Xclusive terpilih bermula hari ini. 

Celcom turut menawarkan KAX kepada pelanggan Celcom First, Celcom Frenz, Celcom Traveller SIM, Celcom PortaWiFi dan Celcom Broadband mengikut terma dan syarat yang ditetapkan kumpulan itu. 

Terus komited 

Sementara itu, Zalman Aefendy berkata, Celcom terus komited untuk mengekalkan kedudukannya sebagai penyedia rangkaian data dan telekomunikasi terbaik negara menerusi langkah menambah baik serta memodenkan rangkaian sedia adanya.