Piala FA: Final ke-4 rangsang TRW


Kota Bharu: The Red Warriors (TRW) bertekad untuk ke final Piala FA buat kali keempat dan akan menjinakkan FELDA United FC pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam, malam ini. 

Kelantan yang berjaya ke pusingan akhir sejak tahun 2009 adalah penyandang juara selepas menumpaskan Johor Darul Takzim (JDT) 1-0, semestinya tidak mahu melepaskan peluang bagi melayakkan diri sekali lagi untuk ke final musim ini. 
Pengendali Kelantan, George Boateng, berkata misi ke final semakin hampir sekiranya berjaya menewaskan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim, malam ini. 


"Saya ingin lihat Kelantan ke final sekali gus mengekalkan Piala FA yang dimenangi musim lalu,” katanya. 

Kelebihan jaringan 

Menyentuh kejayaan skuad The Settlers yang mempunyai kelebihan jaringan di tempat lawan selepas seri 3-3 pada aksi separuh akhir pertama, Boateng menyifatkan ia bukanlah satu tekanan. 

Menurut jurulatih kelahiran Ghana itu, beliau tidak menganggap kelebihan jaringan di tempat lawan yang diperoleh FELDA United sebagai satu kelebihan. 
“Kami melakukan kesilapan apabila memberikan tiga jaringan kepada pasukan berstatus kelab itu. Jadi, sebagai membalas kesilapan, kami akan menebusnya dengan memastikan kemenangan pada perlawanan malam esok (malam ini),” katanya. 

Boateng berkata, skuad TRW menerima khabar gembira apabila dua penyerangnya, Francis Forkey Doe dan Ahmad Shakir Mohd Ali yang baru pulih daripada kecederaan dilaporkan makin cergas. 

"Kehadiran dua pemain ini mampu menajamkan jentera serangan Kelantan. Namun, kami juga mempunyai dua pemain yang kini masih menjalani sesi pemulihan, Mohamad Shawky Yazid dan Ahmad Fakri Saarani untuk mengambil alih tempat mereka,” katanya.