Masa robek penantian 22 tahun


Kuala Lumpur: Malaysia mampu mencatat kemenangan besar ketika aksi menentang Jepun pada final Piala Thomas, hari ini jika berpandu kepada prestasi pemain.

Bekas pakar beregu badminton negara, Razif Sidek, berkata sekiranya Datuk Lee Chong Wei memberikan mata pertama, skuad negara tidak akan berdepan masalah untuk meraih dua lagi mata menerusi beregu dan perseorangan kedua, Chong Wei Feng yang dilihat cukup baik ketika ini. 

“Saya lihat kita tidak bermasalah dalam beregu dan dua perseorangan kita juga mampu memberikan mata. Setakat ini saya yakin kita boleh mengharapkan mereka. 


"Ini adalah peluang terbaik kita untuk rampas kembali Piala Thomas dari China dan saya harap pemain tidak mensia-siakannya. Saya percaya jika mereka tidak begitu yakin, mereka mampu berjaya,” kata Razif yang berada dalam skuad 1992 negara ketika kali terakhir menjulang trofi keagungan itu.

Begitupun, Razif mengakui Malaysia tidak boleh sesekali memandang rendah pemain Jepun yang ketika ini berada dalam keadaan cukup berkeyakinan selepas menundukkan China.

Mengulas kejayaan menumpaskan Indonesia 3-0 ketika aksi separuh akhir malam kelmarin, Razif yang bergandingan bersama adiknya Jalani Sidek berkata, kejayaan skuad Piala Thomas negara mara ke final bertemu Jepun sebagai mengejutkan selain peluang terbaik untuk mengembali kegemilangan yang dilakukan skuad negara 1992 itu.