Kuala Lumpur: Keputusan analisis makmal terhadap dua coklat keluaran
Cadbury Confectionary (M) Sdn Bhd jelas menunjukkan ia mengandungi DNA
babi (porcine).
Justeru, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emiritius Tan Sri
Dr Abd Shukor Husin, berkata keputusan muzakarah pada 2011 bahawa umat
Islam diharuskan mengambil makanan dan minuman yang mengandungi bahan
najis seperti DNA babi akibat daripada pencemaran yang tidak
disengajakan atau tidak disedari, tidak terpakai kepada dua produk
keluaran Cadbury itu.
Beliau berkata keputusan itu berdasarkan belum ada penyelidikan yang
dapat mengenal pasti sama ada DNA babi yang tercemar adalah asli atau
sintetik dan sejauh mana tahap pencemarannya.
Selain itu, katanya, pencemaran DNA itu juga boleh berlaku
dengan mudah melalui udara secara tidak disedari atau tanpa diketahui
secara zahir dan pakar sains berpandangan adalah amat sukar untuk
menghalang pencemaran berkenaan daripada berlaku.
“Ia berbeza, yang kita maksudkan (fatwa lalu) ramuan, kandungan
dan cara pemprosesannya disahkan sebagai bersih, suci dan halal serta
menjadi bahan makanan atau minuman yang diterima umat Islam secara
meluas tetapi kemudian berlaku pencemaran kandungan seperti DNA babi
secara sengaja atau tidak, maka ia harus diambil sebagai makanan kerana
kandungan asal adalah halal,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sudah disahkan
Beliau berkata kes coklat Cadbury pula memang jelas ada DNA babi
dan disahkan oleh Kementerian Kesihatan yang membuat ujian, oleh itu
keputusan muzakarah lalu tidak terpakai pada kes produk berkenaan.
Beliau berkata demikian mengulas penyebaran keputusan muzakarah
pada 2011 itu yang boleh mengelirukan orang ramai berikutan isu coklat
Cadbury itu.
Abd Shukor berkata pihaknya tidak bercadang untuk bermuzakarah untuk membuat ketetapan baharu.
“Tidak perlu buat fatwa baharu sebab nyata ia salah (coklat ada
DNA babi), ia bukan saja haram malah pengeluarnya juga perlu dikenakan
tindakan tegas.
“Cuma sekarang kita sedang menunggu keputusan makmal dibuat
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sama ada perkara ini dilakukan
secara sengaja atau tidak, banyak mana kuantiti digunakan, adakah
berlaku penipuan atau tidak amanah kerana hasil produk ini bukan saja
haram dimakan malah mereka yang melakukan penipuan harus dihukum,”
katanya.