Kuala
Lumpur: Datuk Lee Chong Wei semakin hampir untuk merangkul kejuaraan pertama
selepas memenuhi hukuman penggantungan selama lapan bulan apabila mara ke
separuh akhir Grand Prix (GP) Emas Terbuka Amerika Syarikat (AS).
Pada aksi
suku akhir di Kolej Komuniti Suffolk County, New York semalam, bekas pemain
nombor satu dunia itu tidak berdepan masalah untuk menewaskan pemain England,
Rajiv Ouseph 21-9, 21-14 dalam tempoh 32 minit.
Kemenangan
itu sekali gus menyaksikan Chong Wei bertemu pilihan ke-16, B Sai Praneeth dari
India pada separuh akhir awal pagi tadi.
Chong Wei
sebelum ini sudah membuat penampilan pada saingan Piala Sudirman serta Sukan
SEA dalam acara berpasukan, namun secara individu, ia penampilan pertamanya
selepas terpaksa berehat seketika berikutan kegagalan ujian doping.
Jurulatih
perseorangan lelaki negara Hendrawan yang mengiringi Chong Wei ke Amerika
berkata, prestasi anak buahnya itu lebih meyakinkan berbanding ketika bergelut
menewaskan pemain muda China, Kai Guo pada suku akhir.
“Hari ini
(semalam) penampilan Chong Wei lebih baik berbanding kelmarin. Saya sudah
mengingatinya sebelum ini bahawa setiap lawan yang akan ditemui selepas ini
pasti lebih sukar.
“Bagi
perlawanan separuh akhir, saya harapkan Chong Wei dapat lebih fokus dan tidak
memandang mudah lawannya itu.
“Yang
penting, saya nampak dia begitu bersungguh-sungguh untuk menang,” katanya.
Mengulas
mengenai prestasi Chong Wei setakat ini, Hendrawan berkata, pemain itu berjaya
meningkatkan persembahannya di gelanggang dari semasa ke semasa.
Sebagai
rekod, Chong Wei sudah dua kali bertemu Praneeth dan memenangi kedua-dua
pertemuan itu dengan kali terakhir pada Terbuka Indonesia, dua tahun lalu.