Kuala
Lumpur: “Saya tidak lagi pintar, tidak ada wang dan sedang mencari kerja. Saya
juga masih belajar secara sambilan di sebuah universiti,” kata wanita genius
Matematik dan bekas penuntut Universiti Oxford, Sufiah Yusof, 30, yang kini
masih berjuang untuk meneruskan hidup.
Bagaimanapun,
Sufiah tidak memaklumkan di mana dia kini sedang melanjutkan pelajaran mahupun
tempat tinggal terbarunya.
Sufiah
ditemubual Haliza Hashim Doyle di sebuah hotel di Liverpool untuk Rancangan
Nona TV3 yang disiarkan petang semalam.
Katanya,
dia mahu meneruskan kehidupan seperti wanita lain selain tidak pernah dahagakan
publisiti.
“Kegagalan
dan pengalaman pahit yang saya alami banyak memberi pengajaran. Saya juga dapat
menanganinya dengan baik.
“Ia
membuatkan saya lebih matang. Biarpun tertekan tapi ia menyedarkan saya untuk
menyesuaikan diri dengan kehidupan sebenar,” katanya.
Katanya,
dia juga tidak rasa dirinya pintar biarpun dapat melanjutkan pelajaran ke
Universiti Oxford pada usia sangat muda.
“Mungkin
saya ada kepandaian dan kepakaran dalam Matematik. Saya berharap dapat memberi
sedikit sumbangan daripada aspek penyelidikan dan dapat meninggalkan legasi
berkaitan Matematik.
“Apapun
saya perlu meneruskan pembelajaran,” katanya.
Katanya,
dia juga sudah lama tidak keluar di mana-mana media dan mahu laporan yang lebih
baik terutama bagi berkongsi mengenai kisah hidupnya.
“Tidak
bermakna kisah yang dikongsi menarik minat masyarakat tapi ada sesetengahnya
bersimpati dan mahu tahu kisah saya walaupun ada kalangan mereka tidak
mengenali saya,” katanya.
Katanya,
dia tidak rasa sesuatu yang luar biasa walaupun sebelum ini menjadi tumpuan
media berikutan kemasukannya ke Universiti Oxford.
“Semakin
dewasa, saya lebih faham bahawa tidak semua orang mempunyai nilai dan aspirasi
sama.
“Saya
hargai mereka yang ambil berat dan beri sokongan. Setiap orang bebas buat
pilihan dan mampu menanganinya setiap permasalahan dengan pilihan yang dibuat,”
katanya.
Katanya,
dia mengakui terbabit dengan industri seks selama beberapa bulan pada 2008
lalu.
“Saya
berhenti selepas diburu, diganggu dan diugut oleh media di Britain. Saya pernah
dirakam secara rahsia oleh wartawan di sini (Britain), yang menyamar sebagai
pelanggan.
“Gambar
saya sebagai pekerja seks turut dipapar. Ada antara mereka yang cuba memberi
dadah dan menyuruh saya menanggalkan pakaian supaya mereka dapat merakamkan
aksi ketika di atas katil.
“Itu
adalah pengalaman paling menakutkan dalam hidup saya dan tidak masuk akal
apabila hampir setiap hari menerima e-mail berunsur ugutan hanya semata-mata
untuk menemuramah saya,” katanya.
Katanya,
biarpun, kejadian itu membuatkannya tertekan namun ia menyedarkan dia selain
mampu menanganinya dengan baik.
“Sebenarnya
bukan saya saja yang diperhatikan malah ramai lagi. Laporan perubatan mereka
diakses, mencari alamat mereka, mengugut, dan merakam mereka secara rahsia.
“Situasi
begini cukup membuatkan saya tertekan, hanya menyembunyikan diri dan takut
berjumpa dengan sesiapa,” katanya.
Sufiah
berkahwin dengan kenalan, Jonathan Marshall yang juga penuntut jurusan
Undang-undang di Universiti Oxford ketika usianya 19 tahun.
Ketika
suaminya menamatkan latihan perundangan, Sufiah kembali belajar dalam jurusan
ekonomi.
Dua tahun
kemudian, dia dan suaminya dilaporkan bercerai dan sekali lagi pembelajaran
Sufiah terbengkalai.
Pada
2008, Malaysia dan Britain digemparkan dengan laporan Sufiah mencari nafkah
sebagai pekerja seks.