Prestasinya di pentas ‘Qu Puteh Bintang
Bersama Bintang’ (QPBBB) cukup terbukti konsisten. Lawak-lawaknya bukan
sahaja mengundang gelak penonton malahan mendapat pujian juri hampir
setiap minggu. Maka tidak hairanlah sebelum melangkah ke final, Achey sudah menang empat minggu menjadikannya peserta terbanyak mengumpul hadiah mingguan rancangan ini dengan RM40,000!
“Saya tidak mahu dikatakan sebagai cuba
berbangga dengan kebaikan sendiri tapi sebenarnya saya mahu mengajak
orang lain berbuat benda sama. Saya ada kawan yang mengusahakan makanan
ringan, mee siput namun perniagaannya agak tidak menentu. Jadi saya
membeli sejumlah paket makanan itu dan memintanya menghantar ke masjid
berhampiran kampung saya di Johor.
“Selain itu, saya juga ada membeli nasi
lemak dan ais krim untuk tujuan serupa dan diagihkan di kawasan sekitar.
Semuanya saya ambil dari pengajaran kedua ibu bapa saya sendiri dan
juga sifu saya, arwah Harun Salim Bachik yang sangat pemurah orangnya.
Tidak lupa juga untuk menolong mana yang termampu kedua ibu bapa serta
mentua, itu sahaja,” jelas Achey tentang apakah ‘rahsia’ kemenangannya
dan bagaimana wang dimenangi setiap minggu dibelanjakan.
Untuk minggu kesembilan, Achey membuat
kelainan dengan membawa elemen sedih dalam persembahannya. Tema
masyarakat dan kekeluargaan disampaikan dengan bantuan pelakon cilik
Puteri Balqis di mana si anak (Balqis) pada pengakhiran sketsa
menghempas telefon hadiah bapanya tanpa mengetahui bapanya itu telah
menjual basikalnya untuk membeli hadiah berkenaan. Emosi penonton turut
diusik dengan luahan si bapa yang gigih membesarkan anaknya tanpa
kehadiran seorang isteri.
“Dialog yang diberikan oleh saya dan
Balqis pada minggu ini lebih banyak yang mendalam maksudnya. Kalau orang
perasan, orang akan melihat elemen sedih itu lagi banyak dari lucu.
Kalau tengok balik dari lucunya, sedihnya sikit je, mungkin elemen sedih
tu yang menangkap dan ‘mematikan’ kelucuan di permulaan sketsa,”
ujarnya.
Achey ditanya apakah tekanan yang
dihadapinya setelah menjadi peserta paling banyak menggungguli rancangan
ini saban minggu, “Apabila menang untuk kali keempat, saya tahu
tanggungjawab saya makin berat. Saya kena buat betul-betul. Kak Ogy
selalu tekankan tahap persembahan, orang akan menjangka tahap
persembahan kita akan meningkat dan terus menaik terutamanya selepas
menang empat kali.
“Itu adalah tugas yang berat bagi saya dan menuntut kerja keras dalam setiap persembahan. Malam ini saya dan Balqis hanya enjoy
di pentas, mungkin itu menjadi kekuatan dan menyumbang kemenangan malam
ini,” akhiri Achey yang ditemui selepas diumumkan pemenang mingguan
QPBBB di Plaza Alam Sentral, Shah Alam malam tadi.