'Suami Aku Ustaz': Masih Banyak Lompang

Diadaptasi dari novel bestseller dengan tajuk sama, filem ‘Suami Aku Ustaz’ dijangkakan dapat menandingi penangan filem bercirikan Islamik setara ‘Nur Kasih The Movie’ yang cukup hit suatu ketika dulu. Namun sayang seribu kali sayang, jangkaan itu meleset sama sekali.

Membawa tajuk dengan frasa ‘ustaz’ dilihat terlalu berat untuk dilaksanakan sekiranya tiada pelaksanaan unsur-unsur Islamik di dalam naskhah ini. ‘Ustaz’ hanyalah satu watak yang membawa karakter seorang ustaz yang klise, kemudiannya tiba-tiba bertukar lebih moden dan stylish untuk memikat si isteri.

Penonton dibawa ke penceritaan Alisa (Nora Danish), watak remaja 17 tahun yang dipaksa berkahwin dengan sepupunya sendiri, Ustaz Hafiz (Adi Putra) kerana ibu bapanya ingin ke Mekah menunaikan haji. Tertanya-tanya juga, bagaimana boleh ibu bapa di zaman ini membuat keputusan sebegitu penting untuk anak semata-mata untuk ‘menjaga’ anak perempuan sementara mereka berpergian.

Alisa dan Ustaz Hadi terpaksa merahsiakan perkahwinan mereka dari pengetahuan umum kerana Alisa masih bersekolah, seperti biasa di sekolah yang sama Ustaz Hafiz mengajar. Adakah logik untuk menyembunyikan hal ini memandangkan mereka berdua tinggal sebumbung di sebuah kampung? Mungkin logik jika mereka tinggal di bandar besar di mana semua orang lebih individualistik dan tidak ‘menjaga tepi kain orang’.

Plot filem ini hanya sekadar biasa-biasa. Masih ada lompang yang boleh diperbaiki dan diperhalusi. Banyak babak yang boleh dipotong atau ditiadakan langsung tanpa mengganggu keseluruhan cerita.

Filem ini akan menemui penonton di layar lebar bermula 14 Mei.