Syarikat kapal disyor maklum jika bawa muatan kargo bernilai tinggi - TLDM

KUANTAN: Syarikat perkapalan disaran memaklumkan kepada pihak berkuasa jika membawa muatan kargo bernilai tinggi untuk mengelakkan insiden kapal mereka dirampas lanun seperti yang terjadi kepada kapal tangki MT Orkim Harmony. 

Panglima Wilayah 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda Datuk Azhari Abdul Rashid, berkata langkah itu juga membolehkan tindakan segera diambil jika kapal yang membawa muatan itu tidak dapat dikesan atau menunjukkan tanda yang mencurigakan. 

"Aspek pengurusan baik semasa belayar yang boleh dilaksanakan adalah seperti yang dilakukan syarikat kapal di Teluk Aden, yang sering berlaku kes rompakan kapal. Mereka mengambil perkhidmatan syarikat keselamatan swasta. 

"Syarikat keselamatan yang dilantik akan mengikuti perjalanan kapal dan memerhati sekiranya ada sebarang ancaman," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan sama ada kru kapal perlu dilengkapi dengan senjata untuk tujuan pertahanan jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini seperti serangan lanun. 

Azhari yang ditemui pemberita di Markas Wilayah Satu Pangkalan TLDM Tanjung Gelang di sini berkata, perkara itu juga perlu mendapat kerjasama daripada syarikat keselamatan yang terlatih. 

Pada 11 Jun lalu, MT Orkim Harmony dilaporkan hilang di perairan Timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor sebelum disahkan dirampas sekumpulan lanun. 

Kapal dimiliki Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal terdiri 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang warga Myanmar dan ia turut membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta. 

Berikutan kejadian itu, TLDM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta beberapa agensi lain membabitkan pelbagai negara menjalankan usaha mencari dan menyelamat. 

Kapal itu berjaya diselamatkan semalam dan semua kru dibebaskan. Ia tiba di Pelabuhan Kuantan pada jam 7.30 pagi tadi. 

Lapan lanun yang merampas kapal itu berjaya ditahan pihak berkuasa Vietnam di Kepulauan To Chum, kira-kira 80 batu nautika di Barat Vietnam, ketika menceroboh perairan negara itu dengan menggunakan bot kecemasan MT Orkim Harmony. - BERNAMA