Selepas meninggalkan dunia radio,
pengacara Faizal Ismail masih lagi dilihat sebagai penyampai radio oleh
segelintir pihak. Lebih 15 tahun bergelumang dalam dunia radio, lapan
tahun darinya sebagai penyampai, Faizal mengakui rindu akan bidang
tersebut. “Rindu tapi saya tidak akan kembali. Ianya keputusan
muktamad,” tegasnya.
Menurut Faizal, dia bukanlah mahu
melupakan terus segala kenangan di dunia itu tetapi dia mempunyai misi
dan perancangan lain untuk dirinya. “Saya tak pernah lupakan kerjaya
sebagai penyampai radio malah tetap lagi berhubungan dengan rakan di
sana seperti Fara Fauzana dan AG.”
Masih menjadi salah seorang pengacara di
program ‘Nasi Lemak Kopi O’ yang bersiaran di TV9, Faizal berkata dia
kini lebih banyak masa bersama keluarga. “Bila tak terikat dengan
komitmen kerja yang mengikut jadual, saya rasa lebih bebas menerima
tawaran mengacara.” Tambahnya, di tahap ini dia bukan lagi mengejar
populariti dan kuantiti tawaran tetapi lebih kepada kualiti kerja.
Faizal turut berkongsi yang dia bakal
tampil dengan koleksi baju Melayu untuk sambutan Aidilfitri. “Projek ini
adalah kolaborasi saya dengan pereka fesyen Bon Zainal. Bermula dengan
harga sekitar RM400 sepasang, nanti akan saya kongsikan rekaan dan
warnanya.”
Selain itu, Faizal yang juga sibuk menguruskan syarikat pengurusan
majlisnya, menyatakan mahu mempelbagaikan lagi kebolehan dan bakat yang
ada pada dirinya. “Saya pernah menyanyi, berlakon, mengacara dan menjadi
penyampai radio. Selepas ini saya mahu gunakan segala ilmu dan
pengalaman yang ada untuk menerbitkan sebuah program televisyen.”
Bagaimanapun, Faizal mengakui ianya bukanlah semudah yang disangka
tetapi memerlukan masa untuk mendalami bidang tersebut. “Jika diberi
peluang, saya mahu lakukannya. Nantikan…”