KUALA
LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merancang untuk meningkatkan
ganjaran menangkap tikus kepada RM3 seekor dalam 'Kempen 1 Tikus 1 Ringgit'.
Pengarah
Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr Hayati Abdullah berkata, ia bagi memberi
lebih motivasi kepada masyarakat dalam memenuhi sasaran DBKL untuk menangkap
50,000 tikus setahun.
"Kami
peruntukkan RM50,000 setahun untuk kempen ini namun peruntukan ini tidak pernah
dihabiskan.
"Oleh
itu aktiviti menangkap dan mengawal haiwan perosak ini perlukan kerjasama dan
sokongan anggota masyarakat," katanya.
Beliau
berkata, tahun lalu DBKL mengumpul 10,498 tikus yang diserahkan orang ramai,
namun jumlah itu masih di bawah sasaran 50,000 yang ditetapkan.
Dr Hayati
berkata, orang awam boleh menjana pendapatan sampingan sehingga RM50 sehari
hasil menangkap tikus.
Kempen '1
Tikus 1 Ringgit' mula dijalankan pada 2008.
Sebelum
ini lima pasar awam di sekitar Kuala Lumpur antaranya Pasar Borong Selayang dan
Pasar Chow Kit dilaporkan semakin kritikal dengan pembiakan tikus yang
dikhuatiri boleh membawa penyakit seperti leptospirosis atau kencing tikus.
Tiga lagi
pasar ialah Pasar Pudu, Pasar Sentul dan Pasar Keramat.
Menurut
Jabatan Kesihatan Persekitaran DBKL, dalam tempoh sebulan pihaknya berjaya
menangkap kira-kira 6,000 tikus di kelima-lima pasar tersebut dengan purata
tangkapan sehari mencecah sehingga 50 ekor di setiap pasar itu. - Bernama