Kemaruk batu akik

Tangerang Selatan (Indonesia): Seorang pengumpul batu akik di sini sering menjadi perhatian orang ramai kerana selalu memakai sehingga 80 perhiasan batu akik setiap kali keluar rumah.


Setiap kali keluar rumah, Hermanus Manafe, 65, memakai 70 hingga 80 perhiasan batu akik pada cincin, rantai dan gelang tangan.

Hermanus berkata, dia mula mengumpul batu akik sejak setahun lalu dan kini sudah mempunyai koleksi sebanyak 750 batu itu.

“Saya kini mempunyai kira-kira 500 cincin dan lebih 250 rantai yang mempunyai batu akik.

“Saya sudah habiskan kira-kira Rp300 juta (RM84,594) untuk membeli semua perhiasan daripada batu akik ini,” katanya.

Ujarnya, walaupun terpaksa mengeluarkan modal yang besar tetapi isteri dan anaknya tidak pernah menghalang hobinya itu.

“Isteri dan anak-anak saya tidak ada masalah kerana yang penting bagi mereka, saya gembira,” jelasnya.

Menurutnya, penampilannya yang luar biasa itu sering menarik perhatian orang ramai untuk mendekatinya dan mengambil gambar.

“Ada yang datang untuk bergambar dengan saya dan ada juga peminat batu akik mahu berkongsi koleksi yang saya miliki ini,” katanya. - Agensi