Erma fail permohonan cerai

Kuala Lumpur: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, mengeluarkan notis amaran terhadap pengarah Bade Azmi berikutan gagal hadir tanpa alasan munasabah pada sebutan permohonan cerai yang difailkan isterinya, sutradara dan pelakon, Erma Fatima.

Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin memerintahkan demikian terhadap Bade atau nama sebenarnya, Badaruddin Azmi, 49, selepas membenarkan permohonan Erma yang diwakili peguam syarie Jamal Lokman Mohd Sulaiman untuk mengeluarkan notis berkenaan kepada Bade selaku defendan.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Ogos ini untuk sebutan kes.

Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad, 47, (plaintif) memfailkan permohonan cerai itu bulan lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Sementara itu, Erma yang hadir ditemani anak dan saudaranya terus bergegas meninggalkan perkarangan mahkamah sehingga pihak media yang membuat liputan kes itu tidak berjaya mendapatkan komennya.