Perampas akan diekstradisi ke Malaysia

Bagan Datoh: Pihak berkuasa Malaysia akan mengemukakan permohonan bagi lapan suspek perampas kapal tangki Malaysia MT Orkim Harmony diekstradisi ke negara ini untuk menghadapi pendakwaan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, permohonan esktradisi itu akan dikemukakan kepada dua negara iaitu Vietnam dan Indonesia supaya siasatan serta pendakwaan dapat dijalankan selewat-lewatnya Selasa ini.

"PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan melakukan siasatan lebih lanjut selepas siasatan awal dilakukan oleh pihak berkuasa Vietnam.

"Kami ucapkan terima kasih kepada kerajaan Vietnam, Kemboja serta Thailand yang turut memberikan kerjasama kepada pihak penguat kuasa Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid Al-Khairiah, Selekoh, di sini malam tadi.

Lapan suspek warga Indonesia ditahan pihak berkuasa Vietnam berhampiran Pulau Tho Chu, selatan negara itu kira-kira 6.30 pagi semalam.