Kuala
Lumpur: "Laporan sudah saya buat dalam jam 10 pagi tadi di Balai Polis
TTDI (Taman Tun Dr Ismail). Malah emel laporan kes ini kepada SKMM (Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia) juga sudah dibalas oleh mereka. Jadi kita
tunggu langkah seterusnya selepas ini."
Demikian
kenyataan pelawak dan pelakon Harith Iskander Musa, 48, mengesahkan laporan
dibuatnya kepada pihak berkuasa susulan paparan beberapa gambarnya dan anak
sulung di laman web lucah antarabangsa yang dikenal pasti baru-baru ini.
Harith
berkata, dia berharap tindakan tegas dapat dilakukan segera oleh pihak berkuasa
bagi menyekat laman web itu selepas kekecohan mengenai kes itu tersebar sejak
lewat malam tadi.
"Ada
bagusnya juga dengan zaman media sosial hari ini kerana kes macam ini
diperkatakan secara meluas dengan begitu cepat. Jadi ia menarik perhatian umum.
"Laporan
pada pihak berkaitan pun sudah saya buat jadi sekarang tunggu perkembangan
daripada mereka (SKMM) untuk tindakan selanjutnya.
"Apa
yang pasti, hasil pemantauan dan siasatan ia adalah perbuatan jahat daripada
pihak tertentu dari luar negara yang membangunkan web lucah itu," katanya.
Luahan
pelakon siri Jangan Ketawa itu yang berasa jijik kerana gambarnya dan anak
sulung dimuat naik di sebuah laman web lucah baru-baru ini mencuri perhatian
umum sejak malam tadi.
Menurutnya,
dia menyedari perkara itu pada pagi Rabu apabila menerima notifikasi ‘Google
Alert’ menerusi emel, semalam.
Tambahnya,
dia turut menyedari laman web berkenaan turut mengandungi gambar anak penyanyi
dan pelakon Erra Fazira dan penyanyi Tomok.
Harith
melangsungkan perkahwinan dengan Dr Jezamine Lim Iskander beberapa tahun lalu
dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Zander Xayne, tiga, dan Alessandrea Jayne
Iskander, lapan bulan.