Sempat kirim wang kepada ibu

PENDANG: Seorang anak kapal tangki MT Orkim Harmony yang dilaporkan hilang Khamis lalu sempat menelefon dan mengirimkan wang untuk perbelanjaan pada Ramadan kepada ibunya sehari sebelum kejadian itu.

Mohamad Adib Jamaludin, 22, dari Felda Sungai Tiang dekat sini juga turut memberitahu ibunya Marina Desa, 52, mengenai keadaan dirinya yang sihat dan sedang belayar, menurut abang mangsa, Mohd Izzat, 28.

Katanya, wang yang dimasukkan ke dalam akaun ibunya adalah untuk perbelanjaan pada Ramadan dan ia adalah gaji pertama adiknya selepas tiga bulan bekerja dengan syarikat kapal tangki itu.

Anak kelima daripada tujuh beradik itu yang bertugas sebagai jurutera enjin kapal berkenaan juga sering berhubungan dengan anggota keluarga lain melalui aplikasi WhatsApp, katanya.

"Agak terkejut bila syarikat di mana adik saya bekerja menghubungi emak Jumaat lalu dan memaklumkan kejadian itu. Kami agak sedih tetapi kami tak putus harapan berdoa agar dia (Mohamad Adib) selamat," kata Mohd Izzat ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, kedua ibu bapanya kini berada di Kuala Lumpur selepas diminta hadir ke pejabat syarikat kapal tangki itu untuk diberi taklimat dan maklumat berkaitan nasib kesemua krew kapal terbabit.

Ahli keluarga dan jiran tetangga katanya, sering mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat memohon kesemua krew kapal tersebut berjaya pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

"Kami semua hendak tahu keadaan Mohamad Adib. Itu sahaja yang kami tunggu," katanya.

Katanya sebelum ini adiknya hanya bekerja di Pulau Pinang dalam sektor perkapalan dan ini adalah pelayaran pertama Mohamad Adib selepas lebih dua tahun bekerja dalam sektor itu.

"Memang dia tidak pernah berjauhan dengan ahli keluarga terutamanya menyambut Ramadan dan Aidilfitri. Kali ini kami amat sedih selepas dia hilang tanpa berita," katanya.

Kapal MT Orkim yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada 8.57 malam pada Khamis lalu ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Kapal yang dimiliki oleh Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal termasuk 16 rakyat Melaysia. Anak kapal lain terdiri daripada rakyat Indonesia dan Myanmar.