Melaka:
“Saya letih tetapi tetap berpuasa. Jangan risau kami semua selamat.” Demikian
perbualan ringkas Kapten kapal tangki Orkim Harmony, Nor Fazly Sahat, 39,
ketika menghubungi isterinya, Ruhi Fadzlynn Jailani, 37, malam tadi.
Ruhi
Fadzlynn berkata, panggilan telefon yang tidak disangka daripada suaminya pada
jam 8.40 malam tadi amat melegakan dirinya, anak dan seluruh keluarga.
Menurutnya,
sebelum itu hatinya tetap diselubungi kebimbangan kerana belum dapat mendengar
suara Nor Fazly, biarpun pihak berkuasa sudah mengesahkan semua kru kapal
berkenaan selamat selepas kumpulan perampas kapal berkenaan berkenaan melarikan
diri.
“Memang
saya terkejut dan amat gembira selepas mendengar suara suami. Sebaik mengetahui
dia selamat saya ada cuba menghubungi telefon bimbitnya, tetapi gagal, mungkin
kawasan perairan yang menjadi lokasi kapal itu dirampas tiada liputan talian
komunikasi.
“Dalam
perbualan singkat itu suami menyatakan dia dan semua kru kapal dalam keadaan
selamat dan meminta kami supaya tidak risau dengan keadaan mereka semua,”
katanya.
Ruhi
Fadzlynn berkata, walaupun dijadikan tebusan, suaminya memberitahu anak kapal
yang beragama Islam tetap berpuasa.
Menurtnya,
Nor Fazly, bagaimanapun menyatakan dia penat dan lesu berikutan berada dalam
keadaan tegang sepanjang Orkim Harmony ditawan perampas.
“Kami
tidak boleh berbual lama kerana kru kapal terpaksa bergilir menggunakan hanya
satu telefon untuk menghubungi keluarga masing-masing.
“Namun ia
sudah cukup bagi saya untuk melepaskan rindu selain memastikan suami
benar-benar dalam keadaan selamat dan tidak cedera,” katanya.
Sementara
itu, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Abdul Aziz Jaafar
dalam kenyataannya berkata, Nor Fazly mengambil masa hampir lima jam untuk memaklumkan
kepada pasukan penyelamat bahawa perampas kapal tangki itu sudah melarikan
diri.
Menurutnya,
ini kerana perlu berhati-hati dan berfikir panjang mengenai keselamatan diri,
kru dan keluarganya selepas menerima ugutan daripada ketua kumpulan perampas
itu yang dikenali sebagai Jhon.
“Kapten
kapal hanya memaklumkan kepada (kapal penyelamat) KD Terengganu pada jam 12.55
tengah malam iaitu hampir lima jam setelah semua perampas melarikan diri demi
keselamatan keluarganya selepas diugut kumpulan perampas terbabit.
“Mereka
melarikan diri dengan menaiki bot penyelamat kapal Orkim Harmony dalam keadaan
ombak agak besar iaitu setinggi kira-kira tiga meter,” katanya.
Beliau
berkata, ketua kumpulan perampas itu mengugut Nor Fazly yang pihaknya
berkeupayaan membunuh keluarga kapten itu jika dia menghubungi pasukan
penyelamat.
Menurutnya,
ugutan itu boleh menjadi kenyataan kerana mereka sudah menembak seorang kru
kapal iaitu tukang masak kapal dikenali sebagai Mavit Martim, 40-an,
menyebabkan dia cedera di paha.ketika kumpulan perampas terbabit menaiki kapal
itu pada 11 Jun lalu.
“Sebelum
ini, ketua perampas terbabit turut mengugut kapal penyelamat KD Terengganu
untuk menjarakkan kedudukan kapal pada jarak lima batu nautika.
“Jika KD
Terengganu gagal berbuat demikian, perampas terbabit mengugut akan mencederakan
kru kapal Orkim Harmony,” katanya.
Abdul
Aziz berkata, sebaik sajak pihaknya menerima makluman daripada Nor Fazly kapal
KD Handalan diarah mengiringi Orkim Harmony menuju ke Pelabuhan Kuantan dan
dijangka memasuki pelabuhan pada jam 2 pagi ini.
Menurutnya,
sebelum melarikan diri, ketua perampas ada menyatakan rancangan untuk
meneruskan pelayaran kapal berkenaan ke Kepulauan Natuna, Indonesia.
“Ekoran
itu, TLDM meminta kerjasama daripada Tentera Laut Vietnam, Thailand dan
Indonesia dalam misi mencari kumpulan perompak itu.
“Tentera
Laut Indonesia bersetuju untuk membantu mencari kumpulan berkenaan di perairan
Kepulauan Natuna yang dinyatakan oleh Ketua Staf Angkatan Laut Indonesia,
Laksamana Ade Supandi, melalui perbualan telefon dan teks pesanan ringkas,”
katanya.
Menurutnya,
sebaik mendapat maklumat perampas sudah melarikan diri, semua aset laut dan
udara milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta sebuah pesawat P3C Orion
milik Tentera Udara Diraja Australia diatur gerak bagi mencari kumpulan
perampas terbabit.
Katanya,
antara aset yang dikerahkan adalah tiga helikopter TLDM (Super Lynx dan
Fennec), C130-Hercules dan B200T-Beechcraft dari TUDM bersama-sama KD Pahang,
KD Terengganu dan KD Jebat dalam usaha mengesan penjenayah berkenaan.
Bagaimanapun,
kata Abdul Aziz pada kira-kira jam 6.30 pagi semalam, pihak berkuasa Vietnam
mengesan lapan perampas terbabit yang menceroboh perairan berhampiran Pulau Tho
Chu sebelum menahannya. Ketika ditahan semua lelaki terbabit mengaku sebagai
nelayan walaupun menaiki bot penyelamat yang hanya digunakan untuk kapal dagang
atau kapal tangki. Sehingga kini, semua mereka masih ditahan untuk siasatan
lanjut pihak berkuasa Vietnam dan pihak berkuasa Malaysia sedang berusaha untuk
meminta kerajaan Vietnam menyerahkan semua mereka untuk didakwa di negara ini.
Kapal tangki Orkim Harmony yang membawa 5,879 metrik tan petrol RON95
dilaporkan hilang di perairan Pulau Aur, Johor ketika dalam perjalanan
menghantar bekalan minyak ke Pelabuhan Kuantan dari Melaka pada malam 11 Jun
lalu. Sebaik dirampas, kapal itu dilencongkan ke utara sebelum ditemui di Teluk
Siam, malam kelmarin. Perampas sempat menukar nama kapal berkenaan kepada ‘Kim
Harmon” dengan menggelapkan beberapa huruf dari nama sebenar iaitu O,R dan Y.
Mereka juga mengecat sebahagian serombong kapal dengan cat hitam sebagai taktik
penyamaran. Ketika ditemui, semua muatan minyak petrol yang dibawa masih berada
dalam kapal berkenaan dan dipercayai tidak sempat dijual kepada sindiket.