Putrajaya:
Lima lagi suspek diburu berkaitan kes rompakan kapal tangki Orkim Harmony, 11
Jun lalu, berdasarkan maklumat risikan yang diperoleh setakat ini.
Timbalan
Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Madya Maritim, Datuk Ahmad Puzi Ab
Kahar berkata, lima suspek itu beredar bersama bot tunda yang digunakan untuk
merapat kapal itu manakala lapan suspek yang sudah ditahan menaiki kapal
berkenaan.
Menurutnya,
lima suspek terbabit masih bebas dan dipercayai melarikan diri ke Batam.
"Pihak
Western Fleet Quick Response(WFQR) memaklumkan mereka menemui bot tunda di
Batam dua hari lalu dipercayai digunakan untuk merompak kapal Orkim
Harmony," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Pada masa
sama, beliau berkata, APMM memulakan proses ekstradisi untuk membawa semua
lapan suspek yang terbabit dalam kes rompakan kapal Orkim Harmony.
Katanya,
proses berkenaan akan memakan masa dan tertakluk dengan kerjasama pihak
berkuasa Vietnam.
MT Orkim
Harmony membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dan 22 anak kapal
terputus hubungan di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor 11 Jun lalu.
Kapal itu
dikesan dirampas dan ditukar nama asalnya 'Orkim Harmony' kepada 'Kim Harmon'
pada 18 Jun dan kesemua 22 anak kapal dibebaskan, Jumaat lalu sebelum kapal itu
tiba di Pelabuhan Kuantan, Sabtu lalu.