Percintaan antara lelaki dan wanita adalah fitrah manusia. Pun
begitu, dalam mengukuhkan perasaan kasih dan sayang, pasti rasa cemburu
turut menerjah dalam hati masing-masing.
Wanita adalah insan yang cukup sinonim dengan perasaan cemburu itu,
apatah lagi apabila mendapati lelaki yang mereka sayangi lebih memberi
perhatian kepada wanita lain.
Itu kisah yang mewarnai perjalanan setiap babak dalam filem seram
pertama arahan Hashim Rejab, Nasi Tangas atau lebih dikenali sebagai
‘nasi kangkang’.
Dibarisi pelakon baru seperti Azwan Kombos sebagai Hairi, Adiba Yunus (Mira), Shima Anuar (Fatin) dan Along Eyzendy (Faiz), ia percaturan berani dilakukan penerbit Metrowealth.
Dibarisi pelakon baru seperti Azwan Kombos sebagai Hairi, Adiba Yunus (Mira), Shima Anuar (Fatin) dan Along Eyzendy (Faiz), ia percaturan berani dilakukan penerbit Metrowealth.
Apapun, filem Nasi Tangas yang menemui penonton di pawagam pada 18
September ini di bawah klasifikasi 13 PG agak kurang sesuai untuk
tontonan kanak-kanak. Banyak babak jijik dan memualkan yang boleh
membuatkan penonton tidak lalu makan nasi.
Bukan itu saja, babak mesra suami isteri di atas katil juga dirasakan kurang sesuai untuk tontonan golongan di bawah umur meskipun 13 PG membenarkan bimbingan ibu bapa.
Berbicara mengenai filem Nasi Tangas itu, Hashim berkata, filem itu sudah lama siap, tetapi agak lewat ditayangkan di pawagam kerana ‘diperam’ oleh Lembaga Penapisan Filem (LPS).
“Beberapa kali perbincangan dibuat dengan LPF sebelum kelulusan penayangan diterima kerana filem ini didakwa kotor, menjijikkan dan tidak dapat diterima penonton Melayu.
“Apatah lagi, dengan judul asalnya ‘Nasi Kangkang’ dianggap mampu mencetuskan kontroversi lantas diberi judul baru iaitu Nasi Tangas. Pun begitu, menyedari mungkin tidak ramai masyarakat mengetahui apa itu nasi tangas, maka perkataan Nasi Kangkang ditulis dalam kurungan,” katanya.
Mengulas pemotongan babak oleh LPF, Hashim berkata, sebagai pengarah, dia sebenarnya agak kecewa apabila terdapat beberapa babak penting yang memperkuatkan filem itu terpaksa dipotong.
Katanya, walaupun pemotongan itu tidak mempengaruhi jalan cerita, tetapi pemotongan beberapa babak penting agak mengecewakan. Bagaimanapun, katanya, dia akur dan gembira apabila filem itu akan ditayangkan di pawagam.
Bercakap sejauh mana pengetahuannya mengenai nasi tangas, jelas Hashim, perkara ini memang pernah berlaku dalam masyarakat Melayu, bahkan dia pernah bertanya ibunya.
“Perbuatan wanita membuat nasi tangas untuk mengikat hati suami sangat terkutuk dan pengajaran yang mahu saya sampaikan menerusi filem ini jangan sesekali memilih jalan hitam untuk memikat hati suami.
“Apabila sudah terjebak, terlalu banyak buruk daripada baiknya,” katanya.
Selain bintang baru, penampilan pelakon berpengalaman seperti Delimawati sebagai Mak Ton, Den Wahab (Pak Bakar) dan Herman Tino (bomoh Embah Senu) cukup cemerlang.
Siapa sangka Herman Tino yang cukup dikenali sebagai penyanyi turut memiliki bakat lakonan hebat. Bukan mudah melakonkan watak bomoh, tetapi Herman nyata tidak menghampakan. Lakonannya begitu berkesan.
Sinopsis Nasi Tangas
Walaupun perkahwinan Hairi dan Mira berlandaskan perasaan cinta, namun sikap prihatin dan hubungan akrab Hairi dengan rakan sekolahnya, Fatin mengundang rasa cemburu di hati Mira.
Apatah lagi, Hairi dan Fatin kerap bertemu kerana bekerjasama menguruskan perniagaan restoran. Bahkan, apa yang membuatkan Mira lebih sakit hati apabila Hairi memberi lebih perhatian kepada Fatin.
Mira syak yang Hairi menyimpan perasaan terhadap Fatin, bukan sekadar kawan biasa. Apatah lagi, Mira beberapa kali ternampak kemesraan Hairi dan Fatin.
Apakah Fatin menggunakan ubat ‘guna-guna’ sehinggga Hairi lebih mengutamakan dirinya daripada isteri sendiri kerana Fatin sering diganggu mimpi ngeri sehingga dia jadi serba tak kena.
Apakah tindakan Mira seterusnya untuk menyelamatkan rumah tangga yang dibina? Adakah Mira akan memilih langkah membuat nasi tangas untuk suami sendiri?
Mengenai hubungan Mak Ton dan Pak Bakar pula, apa yang mendorong wanita itu memilih langkah membuat nasi tangas untuk suaminya? Adakah akhirnya perbuatan terkutuk Mak Ton diketahui Pak Bakar?
Semua misteri berlakunya ‘nasi kangkang’ ini akan terungkai dalam filem ke-95 terbitan Metrowealth, Nasi Tangas. Sebuah karya seram berdasarkan kisah realiti yang ditokok tambah, Nasi Tangas agak menjijikkan.