Sejak petang kelmarin hati pelakon remaja, Eina Azman, 19, tidak
henti-henti berdebar. Namun, tepat jam 9.03 malam kelmarin perasaan itu
berakhir apabila dia sah bergelar isteri kepada lelaki yang menjadi
pilihan hatinya untuk sehidup semati, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet
Harden, 35, dengan sekali lafaz.
Berkaca-kaca mata Eina menahan air mata daripada mengalir ke pipi
apabila mengetahui dirinya kini sah menjadi milik Gurmeet atau lebih
dikenali dengan nama Datuk Gmix.
Pasangan itu dinikahkan bapa Eina, Azman Abdullah, 51, disaksikan Imam
dan Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan (JAWI), Zulkapili Abdul Mutalib.
Majlis pernikahan yang diadakan di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur itu turut dihadiri keluarga kedua-dua belah mempelai dan rakan rapat.
Majlis pernikahan yang diadakan di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur itu turut dihadiri keluarga kedua-dua belah mempelai dan rakan rapat.
Pada malam pernikahan bertemakan Bollywood itu, Eina menerima mas
kahwin sebanyak RM770, wang hantaran berjumlah RM77,000 serta barang
hantaran berupa beg tangan, kasut, sejadah, tepak sirih dan manisan.
Paling menarik, Eina turut menerima sebuah kereta Chevrolet Camaro edisi khas Transformers berharga lebih RM300,000. Kereta berwarna kuning dan hitam seperti digunakan dalam filem berkenaan untuk watak Bumblebee itu yang diletak di depan pintu masuk lobi hotel serta diikat reben itu menarik perhatian orang ramai di situ.