Prestasi meningkat!


Kuala Lumpur: Jurulatih Datuk Ong Kim Swee tetap mempertahankan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghantar skuad Harimau Muda A beraksi di Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland, Australia meskipun ada pihak menganggap ia kerja sia-sia kerana menyertai liga bertaraf kampung.

Menurut pengendali itu, walaupun liga NPL bertaraf amatur namun adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak memperlekehkan kerana jurang tahap bola sepak Malaysia dengan Australia juga berbeza. 

“Memang benar liga itu bertaraf amatur tapi kita kena lihat ranking Australia dengan kita, adakah kita lebih baik daripada mereka? Kalau liga itu liga kampung sudah pasti kita sudah menjadi juara jadi ini bermakna pasukan kita belum berada di tahap terbaik.

“Kalau bukan di Australia, liga negara mana yang sudi menerima kita untuk menyertai mereka? Setakat ini kita hanya boleh pergi ke Singapura, itu kerana kita mempunyai perjanjian dengan mereka. Malah sebelum ini kita pergi ke Slovakia hanya beraksi dalam perlawanan persahabatan dan bukannya menyertai liga.  

“Memang kalau boleh kita mahu bermain di tempat lebih baik tapi pada saya program ke Australia ini bukan sia-sia kerana pemain-pemain mempamerkan peningkatan sepanjang berada di sana,” katanya semalam.