KUALA LUMPUR: Membariskan pelakon hebat seperti Izreen Azminda,
kumpulan Bocey dan Nas T, telefilem komedi seram Homestay Berhantu
terbitan Zeel Production dijangka menggamit keseronokan dan ketakutan
pada masa yang sama malam ini jam 8.30 malam di TV9.
Menurut pengarahnya, Amor Rizan, beliau melihat kumpulan Bocey
mempunyai bakat yang sangat besar dan sekiranya mempunyai lebih banyak
masa, beliau ingin terus mencungkil apa yang terpendam dan dimiliki
kumpulan berkenaan.
"Namun masa terlalu suntuk kerana jadual mereka begitu padat dan saya
cuma ada enam hari untuk menjalani penggambaran telefilem ini berikutan
kesibukan mereka. Tetapi mereka juga memberikan kerjasama yang sangat
bagus dan penuh disiplin, walaupun kadangkala penggambaran menjangkau ke
awal pagi.
"Izreen juga tidak ketinggalan memperlihatkan kehebatannya dalam
mendalami watak di mana beliau melakonkan watak Mawar, yang juga penari
Mengadap Rebab. Izreen dengan penuh komited belajar untuk menari tarian
terbabit dalam masa hanya 2 jam sebelum penggambaran.
"Begitu juga dengan Nas-T, lakonannya sebagai peguam licik, berjaya
dibawa dengan mudah kerana lagaknya sendiri penuh misteri," kata Amor.
Turut membintangi telemovie ini ialah pelakon yang tidak asing lagi seperti Khairil Anwar dan Kaza.
Homestay Berhantu adalah komedi seram yang mengisahkan tiga sahabat
Din, Man dan Achik (lakonan Kumpulan BOCEY) yang baru kehilangan
pekerjaan sehingga hanya mampu memakan bawang rebus, tiba-tiba mendapat
durian runtuh apabila Man diwasiatkan sebuah rumah yang sudah lama tidak
berpenghuni.
Peguam yang menguruskan wasiat berkenaan, Encik Zikri (Nas-T)
mencadangkan mereka untuk membuat rumah wasiat itu sebagai rumah inap
tetapi dengan beberapa syarat pelik seperti memasang kamera CCTV dan
mereka perlu menghantar rakaman video kepada Zikri setiap hari.
Mahu tidak mahu, kerana terdesak, mereka menurut kehendak En Zikri
dan berpindah ke rumah berkenaan dan menjadikannya rumah inap.
Mereka juga turut berkenalan dengan jiran baru bernama Mawar (Izreen
Azminda) yang juga mempunyai warung tidak jauh dari rumah inap mereka.
Kegembiraan tiga sahabat itu mendapat rumah wasiat tidak lama apabila
terdapat gangguan dan kejadian aneh yang mula menghantui mereka. Mereka
semakin dilanda ketakutan apabila mendapati jiran mereka Mawar,
bukanlah seorang manusia!