Madeena Sentiasa Di Hati Mizz Nina


Sejak dulu lagi penyanyi terkenal Mizz Nina sentiasa membuat satu anjakan khusus demi peminat yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepadanya. Selepas berhijrah dan mengambil keputusan untuk berundur dari nyanyian, dia tidak pernah duduk diam dan akhirnya telah berjaya membuka sebuah butik Muslimah.

Diberi nama Madeeena Boutique & Café, butik sulungnya ini mempunyai kelainan yang tidak pernah difikirkan oleh pengunjungnya. Ini kerana jangkaan hanya pakaian Muslimah dijual adalah salah sama sekali, turut berada di situ ialah pakaian lelaki selain variasi haruman yang berkualiti tinggi.

Bukan itu saja, kepada si penggemar makanan mereka turut boleh menikmati juadah ringan yang turut disediakan disamping membeli belah. Majlis pelancaran yang telah dihadiri oleh kaum keluarga serta sahabat handai cukup membuktikan bagaimana Mizz Nina masih mempunyai daya tarikan yang tersendiri.

Isteri kepada vokalis Noh ini turut berkongsi kegembiraan setelah berjaya membuka butik sulungnya. Tambahnya lagi, dia bersyukur kerana sudah lama mengimpikan untuk mempunyai butik sendiri. Sebelum ini, koleksi madeena hanya boleh didapati melalui laman sesawang dan berikutan permintaan yang semakin hari semakin banyak, pendekatan lebih mesra pelanggan diambil olehnya.

Ditanya adakah dia bakal kembali ke industri seni suara, Mizz Nina hanya tersenyum dan memberitahu dia lebih suka untuk menumpukan perhatian buat masa kini kepada butiknya. Dalam masa yang sama, dia turut mahu berehat panjang dan mungkin terlibat dengan lebih banyak produk berbentuk islamik selepas ini.